KOTA KINABALU: Mendiang Datuk Seri Panglima Sari Nuar Tan merupakan tokoh
yang banyak meninggalkan jasa dalam pembangunan pendidikan dan ekonomi negeri
ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, mendiang bukan
hanya seorang pemimpin yang berjaya, juga seorang visioner yang amat prihatin
terhadap pembangunan pendidikan dan kesejahteraan sosial ekonomi negeri ini.

Katanya, dalam bidang pendidikan, Sari Nuar Tan menjadi pelopor dalam pembangunan
pendidikan di negeri ini termasuklah dalam menyediakan biasiswa, dan menggalakkan
pengembangan program-program pendidikan dengan matlamat utama agar setiap anak
Sabah memiliki akses untuk mendapat pendidikan berkualiti, tanpa dibatasi jarak dan
status ekonomi.

Beliau berkata, semasa menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah (SM) Kian Kok dari tahun 1984 hingga 2014, banyak inisiatif dilakukannya untuk
membantu pelajar, termasuk memberikan biasiswa kepada anak-anak ahli yang
cemerlang dalam akademik.

“Sumbangannya tidak hanya membantu membentuk generasi muda yang berpengetahuan, malah beliau turut berusaha untuk mengurangkan jurang kemiskinan dan mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini”, katanya pada Perhimpunan Peringatan Mendiang Datuk Seri Panglima Sari Nuar Tan di Dewan SM Kian Kok pada Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Hajiji berkata, ketika hayatnya, Sari Nuar Tan juga pernah memegang pelbagai jawatan dalam beberapa pertubuhan, termasuklah Presiden Dewan Perhimpunan Cina Sabah, Presiden Dewan Perniagaan Cina Sabah, Presiden Dewan Perniagaan Cina Kota Kinabalu, Pengerusi Persatuan Hokkien Kota Kinabalu dan lain-lain.

“Beliau telah meninggalkan legasi cemerlang dalam pembangunan pendidikan dan sumbangan besar dalam membangunkan Sabah secara keseluruhan. Jasa dan sumbangan mendiang akan terus dikenang dan dihargai oleh Kerajaan Negeri”, katanya.-pr/BNN