KOTA KINABALU: Petani padi huma (bukit) di kawasan pedalaman Sabah perlu dikecualikan daripada sebarang tindakan dibawah Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023, kata Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey Suan.
Katanya, dalam Belanjawan 2024, sebanyak RM50 juta telah diperuntukan sebagai subsidi untuk meluaskan lagi penanaman padi huma seluas 43,000 hektar khususnya di kawasan pedalaman dan hulu Sabah dan Sarawak seperti  di Pensiangan dan Tenom, Sabah.
Beliau berkata, kaedah penanaman tradisional itu memerlukan pembakaran kawasan dan mereka hanya menjalankan aktiviti pertanian dengan skala yang kecil dan bukan komersil.
Menurutnya, penanaman padi huma dilakukan sejak nenek moyang suku kaum Murut di kawasan pedalaman khususnya di lereng bukit atau tepi sungai secara berpindah rendah yang memberi manfaat cukup bekalan padi dan makanan kepada keluarga selama satu hingga dua tahun.
“Mengenakan denda kepada ladang-ladang dengan keluasan ratus ribu ekar yang mendapat keuntungan berjuta-juta ringgit sangat munasabah, tetapi tidak wajar bagi penduduk yang hanya membuka ladang seekar atau dua sekadar untuk kehidupan keluarga”.
“Kita kena berhati-hati memperincikan pindaan rang undang-undang ini. Pengecualian hendaklah diberikan kepada para petani padi huma dalam akta ini”  katanya ketika membahas Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 di Dewan Negara, Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Bobby berkata, Pindaan RUU itui bertujuan untuk memperkasakan fungsi Jabatan Alam Sekitar dengan menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi mewujudkan denda yang lebih tinggi untuk mengekang dan menghukum penjenayah alam sekitar, disamping  memberi isyarat yang jelas bahawa kerajaan serius untuk mengawal pencemaran alam sekitar.
“Saya tiada masalah tentang cara atau kaedah kita bagi mengekang dan menghukum penjenayah alam sekitar, dengan menaikkan hukuman dan denda hingga berjuta ringgit atau apa cara sekali pun.
 “Dengan adanya RUU itu , pada masa hadapan segala aspek pembangunan untuk agenda meningkatkan ekonomi berkait dengan alam sekeliling akan diambil peduli oleh pihak terlibat”, tegasnya.
Bobby menegaskan,  wujud keperluan untuk meneliti RUU itu sekiranya pesalah adalah “repeat offenders” dan perlu dipertimbangkan untuk memasukkan klausa yang lebih tegas ke atas pesalah tersebut untuk cegah dan sebagai deterrent kesalahan berulang.
Beliau berharap dengan menetapkan hukuman penjara mandatori dapat mencegah berlakunya kes-kes pencemaran atau penjenayah alam sekeliling di masa hadapan.
Selain memperkasakan RUU itu supaya ianya lebih menyeluruh dan komprehensif, beliau juga berharap kerajaan menambah peruntukan untuk agensi penguatkuasaan alam sekitar bagi meningkatkan lagi program latihan kakitangan, peralatan dan kemampuan teknologi.
Beliau juga meminta kerajaan menjelaskan sama ada RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 akan turut terpakai terhadap pesalah industri dari negara jiran khususnya pihak yang mengakibatkan berlaku masalah jerebu rentas sempadan yang melanda negara ini.
“Apakah kerajaan turut bercadang untuk meneruskan Akta Jerebu Rentas Sempadan yang mana jiran kita Singapura telahpun meluluskannya sejak 2014 lagi selain mewujudkan kerangka perundangan yang senada dengan semua negara Asia Tenggara terutamanya Indonesia”, tegasnya.
Bobby menegaskan, kerajaan perlu pertimbangkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur bersesuaian bagi pembuangan bahan-bahan berjadual, selain pindaan undang-undang, untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan awam mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan akibat negatif pencemaran.
“Ini termasuk program-program pendidikan dan kempen-kempen kesedaran untuk memastikan masyarakat faham akan tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar dan akibat perlanggaran undang-undang”, katanya.