TUARAN: Kerajaan Negeri amat prihatin dan serius dalam membantu masyarakat negeri ini tanpa mengira kaum, bangsa dan agama, kata Ketua Menteri, Datuk Seri
Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, sebagai negeri dan negara yang mempunyai berbilang bangsa dan agama,
amat penting rakyat terus meningkatkan keharmonian dan perpaduan.

“Jangan biarkan anasir-anasir negatif menganggu gugat perpaduan dan keamanan
yang kita warisi daripada nenek moyang kita. Jadikanlah kepelbagaian ini untuk
memperkukuhkan lagi hubungan sesama rakyat di negeri ini”, katanya

Beliau berkata demikian pada Program Malaysia Union Mission (MAUM) Pathfinder
Camporee di Kem Istirehat Advent Dantai (KIAD) Lok Nunuk, pada Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk
Abidin Madingkir.

Perkhemahan Pathfinder selama 5 hari yang julung kali diadakan itu disertai oleh
seramai 2,300 peserta dari negara Filipina, Thailand, Bangladesh, Singapura, India, Semenanjung Malaysian dan Sarawak, dengan objektif untuk memupuk pertumbuhan
spiritual, intelektual, dan sosial dalam kalangan orang muda.

Katanya, Kelab Pathfinder merupakan program rekreasi rohani yang direka khas untuk
remaja dan belia berusia 10 hingga 15 tahun dalam kalangan penganut Seventh-Day
Adventist, untuk memberdayakan orang muda, melatih mereka untuk kepimpinan dan
perkhidmatan kepada masyarakat serta untuk pembangunan holistik minda dan rohani
mereka.

Hajiji berkata, dalam dunia yang semakin mencabar ini, kepimpinan yang efektif
merupakan asas kejayaan dalam menghadapi cabaran kompleks.

Menurutnya, kepimpinan bukanlah hanya tentang gelaran atau kekuasaan, tetapi lebih
kepada tanggungjawab untuk berkhidmat dengan teladan yang membawa inspirasi
kepada yang lain.

“Melalui latihan dan pengalaman dalam aktiviti Pathfinder, anak-anak kita dibentuk
untuk menjadi pemimpin yang mampu mengemudi perubahan, menyelesaikan masalah
dengan kreativiti, dan menyumbang ke arah masyarakat yang lebih baik”, katanya.

 

Beliau berharap, anak-anak muda sentiasa bersemangat untuk mencapai potensi sebenar, berusaha menjadi individu yang gigih, positif, dan proaktif dalam meraih impian mereka.

Hajiji percaya komitmen dan semangat belia yang menyertai Perkhemahan Pathfinder
itu dapat mengeratkan persaudaraan, memupuk nilai-nilai mulia, dan menjauhi gejala
negatif sekali gus menjadikan mereka sebagai aset berharga kepada negara.

“Mari kita terus mengukuhkan semangat kepimpinan, memperkukuh keupayaan diri,
dan berusaha bersama sebagai satu komuniti yang teguh dan berdaya saing”, tegasnya.-pr/BNN