KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini diminta agar terus mengekalkan perpaduan dan bersama-sama mengukuhkan iltizam untuk membangunkan dan memajukan negeri ini,
kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang dipimpinnya sejak lebih tiga tahun lalu telah
mengharungi pelbagai bentuk ujian dan cabaran.

“Bermula serangan pandemik hinggalah membawa kepada isu ekonomi dan pergolakan
politik. Namun, berkat kesabaran, kecekalan dan perpaduan dalam kalangan rakyat,
semuanya kita hadapi dengan penuh tabah dan bijaksana.

“Dalam masa sama, saya juga berasa bangga kerana negeri Sabah yang dianugerahi
kepelbagaian budaya dan kepercayaan, membolehkan kita hidup dalam keadaan aman
dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Keadaan ini telah membuka ruang yang luas untuk kita mengeksploitasi keupayaan diri
dan membawa keluarga, masyarakat, negeri dan negara ke tahap yang lebih baik. Inilah
pentingnya keamanan biarpun berbeza agama, budaya dan kepercayaan,” katanya
dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di sini pada Selasa.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak lupa mengucapkan
terima kasih kepada pasukan keselamatan dan pertugas barisan hadapan yang tidak
pernah jemu berkhidmat demi untuk negara termasuk pada musim perayaan.

“Tidak dilupakan kepada mereka yang serba kekurangan untuk terus diingati dan
dibantu terutama pada musim perayaan ini. Saat ini juga adalah masanya untuk kita
saling kunjung mengunjungi untuk mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga,
saudara mara dan sahabat handai.

“Sehubungan itu, saya bagi pihak keluarga, jemaah menteri dan kerajaan negeri
mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir
dan Batin kepada seluruh rakyat di negeri ini,” katanya.-pr/BNN