KOTA BELUD: Sabah perlu diberi autonomi seperti Sarawak untuk mengurus sektor perkhidmatan kesihatan di negeri itu.
Demikian respon bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Salleh Mohd Said selepas meneliti data yang dibentangkan oleh pihak Hospital Kota Belud pada Jumaat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu, isu kekurangan pakar dan pegawai perubatan di negeri tersebut seperti yang terjadi di Hospital Kota Belud dapat ditangani dengan lebih efektif sekiranya kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa yang berkaitan.
“Kota Belud perlu mempunyai seorang doktor pakar yang kita tidak ada pada ketika ini, dan kita meminta kerajaan mempertimbangkan kerana keadaan di Kota Belud ini memerlukan seorang pakar berdasarkan data yang ada kita.
“Kedua kita juga rasakan perlu pegawai perubatan ditambah. Kita kena ambil kira penduduk Kota Belud 110,000, dan banyak pesakit luar.
“Kalau boleh sekurang-kurangnya kita ada 30 orang pegawai perubatan di Kota Belud. Ketika ini kita hanya ada kurang lebih 24 orang sahaja”, ujar Salleh dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Salleh pada masa sama turut menggesa agar segala perancangan berkaitan prasarana dan kemudahan seperti ambulans dapat disegerakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan faktor geografi daerah itu sebagai transit kepada penduduk di kawasan utara Sabah.
“Banyak perkara yang harus disegerakan sepertinya ambulans.
“Saya rasa tidak mencukupi, harus ditambah lagi. Begitu juga dengan beberapa perancangan pihak hospital dan KKM tentang prasarana di kawasan Hospital Kota Belud.
“Saya harap pihak KKM dapat mengambil perhatian, dapat disegerakan perlaksanaannya. Daerah Kota Belud ini kalau kita lihat adalah sebuah daerah yang terletak antara Kudat dan Kota Kinabalu.
“Ia adalah sebagai satu kawasan transit bagi mereka yang ingin ke utara negeri sabah”, tambah Salleh.
Terdahulu, satu lawatan telah diadakan oleh ADUN Usukan, Datuk Seri Mohd Salleh Mohd Said ke Hospital Kota Belud pada Jumaat.
Lawatan itu susulan isu tular di laman Facebook mengenai aduan seorang pegawai perubatan yang mendakwa terpaksa bekerja selama 33 hari di Hospital Kota Belud tanpa cuti akibat kekurangan staf.-pr/BNN