KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata pencapaian ekonomi positif dalam tempoh tiga tahun lalu menunjukkan kesungguhan
Kerajaan Negeri mentadbir dan membangunkan Sabah.

Berucap pada sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kebangsaan 2024 di Sabah International
Convention Centre (SICC) di sini hari ini, Ketua Menteri berkata Sabah telah mencapai
beberapa kejayaan ekonomi melalui pelan tindakan pembangunan lima tahun – Hala Tuju
Sabah Maju Jaya.

“Dengan kejayaan ini, saya berani mengatakan bahawa Sabah kini berada di landasan yang
tepat. Beberapa petunjuk ekonomi telah menunjukkan perubahan positif yang
mencerminkan masa depan yang lebih baik untuk Sabah.

Sementara itu, beliau berkata pemilihan Sabah sebagai tuan rumah bagi sambutan Aidilfitri
Madani Peringkat Kebangsaan 2024 bukan sahaja satu penghormatan tetapi juga satu
pengiktirafan terhadap kepelbagaian kaum, etnik serta budaya dan agama di negeri ini yang kesemuanya dapat hidup bersama secara harmoni.

“Kami mempunyai rakyat dari pelbagai latar belakang, agama dan kaum namun kami kekal
hidup harmoni. Kami menyambut semua perayaan sama ada Hari Raya Aidilfitri, Krismas,
Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Pesta Kaamatan. Inilah keunikan dan kekuatan Sabah,”
katanya.

Hajiji berkata, sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kebangsaan yang dihadiri daripada
segenap lapisan masyarakat termasuk pemimpin tertinggi negara dapat mengeratkan
hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat dan menyemarakkan semangat perpaduan.

“Selari dengan semangat Malaysia Madani dan agenda besar Kerajaan Perpaduan di
bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertekad mengembalikan
kegemilangan nama negara di persada global, Sabah menyokong penuh perjuangan ini
demi negara dan kemakmuran rakyat.

“Kami di Sabah percaya bahawa keharmonian kaum adalah kunci kepada kemakmuran. Ia
juga menyumbang kepada keamanan, keselamatan dan perpaduan. Masyarakat yang
bersatu padu adalah masyarakat yang berdaya tahan terhadap unsur negatif yang
mengancam perpecahan,” katanya.-pr/-BNN