TAWAU: Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri
bagi memperkukuhkan lagi usaha dalam memerangi gejala penyalahgunaan dadah di
negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Selaras dengan fokus KDN terhadap keselamatan dan kedaulatan negara, termasuk
keselamatan dan pembanterasan jenayah, beliau berkata kerajaan negeri juga akan
memberi sokongan penuh terhadap inisiatif-inisiatif yang dapat mengurangkan
masalah dadah di negeri ini.
Justeru beliau mahu semua agensi yang berkaitan seperti Agensi Antidadah
Kebangsaan (AADK), Majlis Belia Sabah (MBS), agensi Persekutuan dan negeri, sektor swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) bergerak bersama bagi memastikan
program-program pendidikan pencegahan dadah dapat dilaksanakan khususnya di
kawasan berisiko tinggi.
“Saya amat mengambil berat akan pelan pembangunan belia berisiko terutamanya
dalam isu penagihan dadah. Saya mengambil maklum mengenai pemerkasaan
program-program kesedaran awam mengenai salah guna dadah di kalangan belia.
“Saya percaya MBS dan badan-badan gabungannya mampu menjadi faktor pelindung
kepada belia-belia berisiko,” katanya sempena Program AADK Bersama Masyarakat
sempena Peringatan Hari Antidadah Peringkat negeri Sabah 2024 di Dataran Majlis
Perbandaran Tawau, di sini pada Ahad.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri
Kerja Raya, Datuk lr Shahelmey Yahya. Program anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan komitmen dalam seluruh masyarakat untuk bersama-sama kerajaan dalam menangani permasalahan dadah khususnya di Negeri Sabah.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri memandang serius usaha membangunkan modal insan di negeri ini, seiring dengan komitmen pembangunan modal insan sebagai salah satu daripada agenda dalam Pelan Pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya.
“Modal insan adalah aset penting dalam membina masa depan negara. Bagaimanapun, masalah berkaitan penyalahgunaan dadah sering dikaitkan dengan pembabitan orang muda dan belia.
“Justeru, situasi seperti ini perlu ditangani kerana anak muda adalah modal insan yang penting untuk memimpin negeri ini pada masa hadapan. Oleh itu adalah penting untuk
memastikan anak-anak muda kita kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan
berintegriti,” katanya.
Katanya, bagi memastikan golongan belia terpelihara daripada ancaman dadah dan
pelencongan sosial, beberapa usaha telah digariskan seperti Program Perintis Muda di
bawah Majlis Belia Sabah (MBS) bertujuan pembangunan bakat dan potensi belia
serta pembangunan keusahawanan dalam kalangan belia berisiko. “Inisiatif ini secara tidak langsung dapat membantu golongan belia terpinggir dan berisiko kembali berfungsi dalam komuniti. Saya juga melihat inisiatif AADK dan MBS menjayakan Kelompok Sokongan Kepulihan Keluarga,, amat baik,” katanya.
Terdahulu, majlis pecah tanah bagi tapak Projek Pembinaan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Tawau yang terletak di Batu 36, telah disempurnakan pagi tadi.
Mengenai majlis itu Hajiji berkata, penubuhan PUSPEN di Tawau adalah usaha untuk
menyediakan kemudahan dan akses program rawatan dan pemulihan berkaitan
dengan dadah kepada mereka yang memerlukan.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dalam usaha ini. Cadangan pembinaan sebuah PUSPEN baharu di negeri ini telah bermula sejak 2019 lagi dan akhirnya ia menjadi kenyataan apabila berjaya diwartakan pada tahun lalu.
“Oleh kerana kemudahan ini hanya ada di Papar sahaja, justeru perjalanan antara
pantai barat dan pantai timur negeri ini agak mengambil masa. Dengan adanya
kemudahan ini, ia memudahkan mereka yang berada di sekitar pantai timur untuk
mendapatkan akses rawatan dan pemulihan yang menyeluruh seperti ditawarkan di
PUSPEN Papar,” katanya.-pr/BNN