KOTA KINABALU:Mahkamah Rayuan hari ini telah mengadakan pengurusan kes bagi rayuan Peguam NegaraMalaysia terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan kebenaran kepada Sabah Law Society untuk meneruskan perbicaraan substantif permohonan semakan kehakiman mereka berkenaan dengan Geran Pemberian Khas 40% Negeri Sabah.

Dalam satu kenyataan, Datuk Asiah Mohd Yusof Peguam Besar Negeri Sabah berkata beliau  telah hadir bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah bersama-sama dengan Datuk BrenndonKeith Soh, Penasihat Undang-Undang Khas kepada Ketua Menteri, Devina Teo dan Roland Alik, Peguam Negeri Kerajaan Negeri.

Mahkamah Rayuan telah dimaklumkan bahawa Tetuan F.T. Ahmad & Co tidak lagi bertindak
mewakili Kerajaan Negeri Sabah dan bahawa Jabatan Peguam Besar Negeri telah
mengambil alih sepenuhnya pengendalian dan pengurusan perkara ini. Setelah meneliti dan mengkaji perkara ini serta prosiding yang telah berlangsung, Mahkamah Rayuan telah
dimaklumkan mengenai pendirian-pendirian berikut:
i. Memandangkan Kerajaan Negeri tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 11 November 2022, Kerajaan Negeri menerima keputusan yang diberikan, iaitu, kebenaran diberikan untuk perkara ini dibahaskan berdasarkan merit dalam perbicaraan substantif permohonan semakan kehakiman;

ii. Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri menarik balik semua hujahan yang dibuat di Mahkamah Rayuan mengenai isu “locus standi” Sabah Law Society kerana isu ini tidak dibangkitkan atau dihujahkan di Mahkamah
Tinggi oleh Kerajaan Negeri; dan

iii. Kerajaan Negeri menarik balik hujahan yang dibuat di Mahkamah Rayuan
yang merujuk kepada Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan
sebagai “aspirasi” dan bukan hak mandatori atau mutlak Negeri Sabah.
Mahkamah Rayuan telah merekodkan pendirian-pendirian ini dan telah menetapkan tarikh 18 Jun 2024 untuk menyampaikan keputusan bagi perkara ini.

“Saya memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa Jabatan Peguam Besar Negeri komitedsepenuhnya dan berpendirian teguh dalam mempertahankan hak-hak perlembagaan Negeri Sabah seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan.-pr/BNN