KOTA KINABALU: SAPP mengalu-alukan jemputan terbuka Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) kepada syarikat Sabah untuk mengemukakan bidaan membangunkan loji janakuasa PV Solar Berskala Besar (fotovoltaic) di Sabah. Menurut kenyataan ECoS hari ini, “keutamaan akan diberikan kepada syarikat milik Sabah”.
Dalan satu kenyataan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee berkata, “ECoS seterusnya menghendaki semua pembida “melantik kontraktor Elektrik dengan PV kelas (Grid-Connected) yang berdaftar dengan ECoS”.
Untuk menjelaskan bagaimana syarikat Sabah boleh diberi keutamaan, ECoS harus menjelaskan bagaimana 7 daripada 10 Kontraktor Elektrik dengan kelas PV (Grid-connected) adalah syarikat bukan Sabah.
Berdasarkan senarai 10 kontraktor yang diluluskan ECoS (lihat senarai dilampirkan), hanya tiga yang mempunyai alamat Sabah.
7 daripada 10 kontraktor yang diluluskan mempunyai perniagaan dan alamat berdaftar di Semenanjung Malaysia. (Satu daripada 7 syarikat itu disenaraikan oleh ECoS sebagai syarikat Kota Kinabalu tetapi carian syarikat menunjukkan syarikat itu berpangkalan di Johor).
SAPP menyeru ECoS untuk bukan sahaja mengumumkan keutamaan bagi syarikat Sabah tetapi juga melaksanakan dasar kerajaan Sabah, iaitu untuk meluluskan lebih banyak syarikat Sabah sebagai kontraktor.-pr/BNN