PUTRAJAYA: Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Rosmadi Datu Sulai, hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Kunjungan hormat di Pejabat Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu bertujuan membincang dan meneroka peluang kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam mengaplikasikan teknologi dan program-program MOSTI serta agensi-agensinya, terutama dalam menangani masalah miskin tegar di Sabah.
Antara masalah kemiskinan tegar yang dihadapi oleh rakyat Sabah adalah tidak memiliki rumah, BMI kurang daripada paras normal akibat kekurangan nutrisi, tidak mempunyai kemudahan asas dan tidak berpendidikan.
Datuk Haji Rosmadi Datu Sulai telah membentangkan satu kertas kerja mengenai sistem SMJ Profiling yang memuat naik maklumat pendapatan, lokasi, bilangan isi rumah dan data yang berkaitan mengenai kemiskinan rakyat Sabah.
Selain itu, satu lagi kerjasama yang telah dibangkitkan oleh SMJ adalah berkaitan
dengan bidang dalam blue economy yang merangkumi farmaseutikal bagi bioteknologi marin, desalination untuk bekalan air, perkapalan, pembangunan sekitar pantai serta pemantauan dan pengawasan lautan (ocean monitoring surveillance).
Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Haji Mohammad Yusof bin Apdal menyambut baik cadangan kolaborasi dengan SMJ memandangkan ia adalah selaras dengan
pendekatan kementerian untuk mengaplikasikan teknologi dalam menangani
masalah rakyat melalui kerjasama dengan kerajaan negeri.
“MOSTI bersama agensi-agensinya akan bekerjasama dengan SMJ bagi mengenalpasti
produk/teknologi yang dapat membantu kerajaan negeri Sabah,” kata Datuk Mohammad Yusof bin Apdal.-pr/BNN