PENAMPANG: Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah akan
melaksanakan beberapa program kebudayaan yang penting pada tahun ini, bagi
memastikan warisan kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan dapat dipertahankan
dari generasi ke generasi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, antara program itu
ialah “Pembangunan Komuniti” melalui modul Protokol Budaya Komuniti yang akan
memberi manfaat kepada komuniti pelancongan luar bandar dan badan kebudayaan
dalam meningkatkan pengurusan dan layanan pelancongan budaya yang bertaraf
dunia.

Selain itu katanya, projek meningkatkan produk pelancongan di Pusat Kebudayaan Murut Tenom juga akan dilaksanakan pada tahun ini, selain memperkasa Cultural Pit-
Stop (CPS) yang terletak di Tawau, Kota Belud, Sandakan, Tenom termasuk tiga lagi lokasi lain iaitu Dataran Wisma Budaya, Ranau dan Keningau.

“Program-program itu bertujuan memastikan khazanah yang diwarisi ini dapat
dipertahankan dari generasi ke generasi”, katanya pada Majlis Penutupan Sambutan
Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2024 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA pada
Jumaat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim menyempurnakan penutupan
pesta itu. Ini merupakan kali kedua Anwar hadir ke Pesta Kaamatan Peringkat Negeri.

Hajiji berkata, sambutan Pesta Kaamatan amat signifikan dengan usaha Kerajaan
Negeri untuk memartabatkan warisan kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan.

“Kita juga menyedari bahawa kekayaan tradisi budaya dalam kepelbagaian etnik
merupakan aset penting dalam sektor pelancongan yang akan terus dipelihara untuk
diwarisi generasi akan datang”.

“Sebab itu, Kerajaan Negeri amat menyokong usaha mengembangkan dan mempertahankan budaya serta kesenian setiap etnik menerusi persatuan masing-
masing agar warisan budaya berharga ini berkekalan”, katanya.

 

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pertanian, Perikanan dan
Industri Makanan Sabah (MAFFI) terus komited dengan usaha meningkatkan tahap sara
diri hasil pertanian terutamanya padi bagi memperkukuh keterjaminan makanan,
khususnya komoditi beras.

Justeru katanya, pada April lalu Kabinet Negeri bersetuju menghidupkan semula
Lembaga Padi dan Beras Sabah sebagai sebahagian inisiatif meningkatkan
pengeluaran serta keselamatan makanan di negeri ini, selain melaksanakan beberapa
inisiatif lain bagi meningkatkan taraf sara diri atau (SSL).

Menurutnya, usaha ini termasuklah memberi penekanan kepada pembangunan padi
tanah kering (penanaman padi bukit) pada tahun ini, mamandangkan Jabatan Pertanian
Sabah (JPS) mempunyai sebanyak 404 koleksi aksesi (jenis padi tanah kering) dalam
gen bank janaplasma padi.

Hajiji berkata, mengikut statistik JPS pada tahun 2021, dianggarkan seluas 13,733
hektar kawasan ditanam padi tanah kering merangkumi 17 buah daerah di seluruh
Sabah antaranya di daerah Ranau, Tongod, Kota Marudu, Penampang, Tuaran,
Nabawan dan Pitas.

Katanya, perayaan Pesta Kaamatan selain merupakan medan untuk mengetengahkan
budaya dan seni masyarakat KDMR di negeri ini, juga mampu menyatukan semua
rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan budaya di negeri ini.

“Sebab itu, perpaduan dalam kepelbagaian suku kaum, budaya serta kepercayaan
agama di Sabah adalah aset penting yang perlu dipelihara dan dipertahankan oleh
rakyat negeri ini. Ini kerana keharmonian dan warna-warni kepelbagaian yang
menjadikan Sabah unik serta istimewa selain memiliki keindahan kebudayaan dan
kesenian yang tersendiri”.

“Kita perlu sematkan dalam diri masing-masing bahawa hanya dengan kestabilan dan
perpaduan sahajalah yang mampu membawa sesebuah negara dan rakyatnya maju ke
hadapan sekali gus dihormati dan disegani oleh masyarakat antarabangsa”, katanya.-pr/BNN