KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menyambut baik pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) yang baharu.
Pengerusi PPNS, Datuk Mohd.Nazri Abdullah berkata, Ahmad Jailani pernah berkhidmat bersamanya semasa bertugas di Pejabat Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia.
“Ketika itu juga saya adalah Ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sekitar tahun 2010 hingga 2014.
“Beliau kawan baik saya dan seorang yang mempunyai kepimpinan yang baik dan saya yakin dan percaya beliau boleh membantu Kerajaan Perpaduan memperkasakan perkhidmatan awam Malaysia”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ahmad Jailani Muhamed Yunus sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang baharu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pelantikan Ahmad Jailani itu berkuat kuasa 7 Jun 2024 untuk tempoh tiga tahun.
Menurut beliau, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenan pelantikan Ahmad Jailani seperti yang termaktub dalam Perkara 139(4) Perlembagaan Persekutuan.
“Tahniah kepada Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus diatas pelantikan itu. Selamat bertugas dan teruskan usaha yang baik ini”, kata Nazri. -pr/BNN