LAHAD DATU: Pelajar-pelajar di Sabah kini berpeluang untuk meneroka dunia Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) melalui Program Bengkel “The World: Magnified”, Plastic World and Electroplating Chemistry yang telah dirasmikan dengan jayanya di SK St. Dominic Lahad Datu, hari ini.
Program ini merupakan salah satu inisiatif Program STEM Camp MOSTI 2024 yang dianjurkan dengan kerjasama strategik bersama Universiti Nottingham Malaysia (UNM), dan Royal Microscopical Society (Great Britain).
Pemerkasaan bidang STEM di kalangan generasi muda merupakan kunci utama dalam membangunkan bakat Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) yang adaptif, yang akan memacu negara menuju status negara teknologi tinggi menjelang 2030.
Dengan menetapkan agenda ‘Pemerkasaan STEM’ sebagai salah satu keutamaan kementerian untuk tahun 2024, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) giat melaksanakan pelbagai aktiviti dan program pendidikan bukan formal telah dirancang untuk melengkapi kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan tujuan meningkatkan minat dan keterlibatan masyarakat umum, terutamanya pelajar sekolah dan belia dalam bidang STEM.
Program ini telah bermula pada 24 Jun hingga 28 Jun 2024, menyaksikan penyertaan aktif seramai 472 pelajar daripada 7 sekolah rendah di daerah Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, dan Tawau, Sabah dalam pelbagai aktiviti STEM seperti bengkel sains, ujikaji ‘hands-on’, dan demonstrasi biologi.
Para pelajar turut diberi peluang untuk merasai pembelajaran informal yang lebih interaktif, praktikal, dan demonstratif di luar bilik darjah, yang dikendalikan oleh fasilitator dan pensyarah berpengalaman dari UNM.
Komitmen dan penglibatan UNM dalam program ini adalah contoh keberkesanan pendekatan Whole of Government Approach yang ditekankan oleh MOSTI. Program ini juga menandakan komitmen kementerian dalam memperkukuhkan pendidikan STEM di Malaysia, dengan memberi tumpuan kepada kawasan- kawasan pendalaman dan luar bandar, bagi memastikan program-program pembudayaan MOSTI adalah inklusif dan tiada golongan yang terpinggir daripada mendapat manfaat pembelajaran yang disediakan
Usaha dan momentum pemerkasaan bidang STEM akan diteruskan lagi dengan dua (2) program perdana MOSTI di Sabah pada bulan Ogos dan September 2024 iaitu Minggu Sains Negara (MSN) dan Malaysia Techlympics. Program MSN di Sabah akan dijalankan melalui pendekatan program jelajah jangkau luar di bawah inisiatif Kembara Sains Borneo.
Program ini akan merentasi sepuluh (10) lokasi utama, bermula dari Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan, Ranau, Kota Belud, Tuaran, Penampang, Tambunan, Papar, sehingga berakhir di Kota Kinabalu. Pendekatan jelajah ini dirangka dengan teliti untuk memastikan capaian program dan golongan sasaran yang terlibat adalah lebih menyeluruh berbanding pelaksanaan karnival di satu lokasi.
Dengan pelaksanaan program-program ini, diharapkan usaha pembudayaan yang dilakukan oleh MOSTI akan memberikan impak positif kepada perkembangan pendidikan STEM dan pembangunan bakat STI di pelbagai peringkat, sebagai langkah penting dalam mencapai agenda Ekonomi MADANI.-pr/BNN