TAWAU: Kerajaan negeri kini sedang merangka pelbagai projek pelancongan dalam pelbagai aspek di seluruh Sabah, antara usaha mencipta lebih banyak lagi produk
pelancongan baharu di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata usaha ini diambil bagi
memperbanyakkan lagi produk pelancongan yang boleh diketengahkan kepada
pengunjung termasuk berkaitan kebudayaan.
“Seperti di Tawau, kerajaan akan melaksanakan beberapa projek pelancongan seperti
yang dicadangkan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar
negeri untuk membangunkan lagi sektor pelancongan di daerah ini.
““Antaranya, membina sebuah resort baharu di Tawau Hills Park yang merangkumi
chalet, laluan pejalan kaki, kolam air panas dan menempatkan Pusat Penyelidikan
Tenggiling. Selain itu, kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan
Alam Sekitar negeri juga akan menaik taraf kemudahan seperti Jeti Tawau yang
membawa pelancong dari Tawau ke Semporna.
Tawau yang juga pintu masuk pengunjung ke Taman Laut Tun Sakaran yang popular di
Semporna, telah merekodkan seramai 25,684 pelawat dari dalam dan luar negara
dalam tempoh Januari hingga April lalu. Sehingga kini, terdapat 115 kekerapan
penerbangan mingguan dengan 20,200 kapasiti tempat duduk menghubungkan Tawau
ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Sandakan. Sehingga 15 Jun tahun
ini juga, terdapat 32 penerbangan sewa khas dari Nanjing dan Guangzhou, China ke
Tawau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Tawau International
Cultural Centre (TICC) di tapak pembinaan TICC, Sabindo, di sini pada Sabtu.
Mengenai majlis itu, Hajiji berkata pembinaan TICC sebagai mercu tanda baharu di
Tawau, pasti akan menjadi tarikan pelancong ke daerah itu.
“Oleh itu,pembinaan TICC itu tepat pada masanya dan sudah pasti apabila siap kelak,
ia akan menjadi tempat penganjuran pelbagai acara kebudayaan termasuk Festival
Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT). Sudah pasti dengan adanya tarikan-tarikan
pelancongan baharu ini, ia akan membantu kita mencapai sasaran 3 juta pelancong ke
Sabah pada tahun ini.
“Berdasarkan statistik Lembaga Pelancongan Sabah, seramai 1.004 juta pelancong
datang ke Sabah setakat bulan Januari hingga April tahun ini dengan membabitkan
396,584 pelancong antarabangsa dan 607,371 pelancong domestik. Keadaan ini amat
memberangsangkan kerana dalam tempoh Januari-April ini, anggaran resit
pelancongan adalah sebanyak RM2.23 bilion.
“Pembinaan pusat ini antara persiapan Tawau sebagai bandar paling dekat dengan ibu
kota negara Indonesia yang akan berpindah ke Nusantara, yang pastinya akan
merancakkan lagi perdagangan dan pelancongan di daerah ini,” katanya.
Sementara itu, TICC bangunan satu tingkat dua blok itu yang akan menjadi tempat untuk
mempromosikan kebudayaan turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya
dewan konvensyen, bilik seminar dan mini teater.-pr/BNN