KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang penjawat awam kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir mantan palsu bagi mendapatkan bayaran pampasan tanah bernilai kira-kira RM111,000.
Menurut sumber, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 50-an telah ditahan kira-kira jam 11 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2014 dengan mengemukakan tuntutan palsu yang disyaki untuk membantu ahli keluarganya mendapatkan bayaran pampasan tanah tersebut di sebuah jabatan di negeri ini dengan alasan tanah tersebut terlibat dengan sebuah projek pembinaan jalan sedangkan tanah tersebut tidak terlibat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Katanya, suspek akan di bawa ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah esok pagi untuk didakwa.-pr/BNN