KOTA KINABALU: Seminar berkaitan masjid, zakat dan wakaf mampu membantu
mentransformasi dan membangunkan peranan tiga institusi berkenaan di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata dalam masa sama seminar ini menjadi medan percambahan idea yang
baharu dan inovatif bagi mewujudkan kaedah pembaharuan teknologi dalam bidang
pengurusan masjid, zakat dan wakaf.

“Saya berharap seminar ini dapat menyediakan platform kepada peserta untuk
berkongsi maklumat, pandangan dan pengalaman dalam usaha transformasi dan
membangun peranan masjid, zakat dan wakaf. Seminar ini sebenarnya amat penting
bagi membantu meningkatkan lagi kefahaman berkaitan pengurusan tiga institusi
berkenaan.

“Justeru, saya amat mengharapkan agar seminar ini menjadi wadah perbahasan, pembentangan, perkongsian ilmiah berkaitan masjid, zakat dan wakaf sama ada dari
segi teori mahupun praktikal.

“Hasil seminar ini diharapkan dapat membantu penambahbaikan dalam isu-isu
berkaitan masjid, zakat dan wakaf di negeri ini, sekali gus memberi manfaat yang akan
digunakan sebaiknya dalam meningkatkan institusi terbabit,” katanya sempena
Seminar Antarabangsa Masjid, Zakat dan Wakaf 2024 (I-MAF 2024) di Sabah
International Convention Centre (SICC) di sini, pada Selasa.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr
Haji Mohd Arifin Mohd Arif.

Seminar itu anjuran Masjid Al-Azhar Universiti Islam Selangor (UIS), Majlis Ugama
Islam Negeri Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah
(JHEAINS), dengan kerjasama PT Aslam Group International Indonesia, Pusat Islam
Universiti Malaysia Sabah (UMS), Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi &
Kewangan Islam (IRCIEF) dan Pusat Zakat & Wakaf (UIS) & Kuiscell Sdn Bhd.

Beliau berkata seminar yang julung kali diadakan ini akan memberi ilmu dan pengetahuan yang terbaik terutama kepada pentadbir-pentadbir masjid dan institusi- institusi berkaitan agama Islam di negeri ini.

“Sudah pasti perkongsian ilmu dalam seminar ini akan menambah baik pengurusan berkaitan masjid, zakat dan wakaf ke arah lebih profesional dan efesien. Masjid, zakat
dan wakaf merupakan elemen yang sangat penting dalam pembangunan insan, masyarakat, negeri dan ummah.

“Ketiga-tiga institusi ini saling berkait antara satu sama lain, justeru kesepaduan fungsi
antara masjid, zakat dan wakaf menjadi titik noktah ke arah mewujudkan jalinan
hubungan dan kerjasama mampan antara ketiga-tiga institusi berkenaan,” katanya.-pr/BNN