KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah telah meraikan peserta Program Kembara Agro Madani Alumni Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan majlis makan malam di Hotel Promenade semalam.
Program Kembara Zon Sabah selama 4 hari itu diketuai oleh mantan Ketua Pengarah LPP, Dato Haji Mohd Salim Haji Taha yang juga Pengerusi Persatuan Alumni LPP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurut Mohd Salim, program kembara itu yang bermula dari 28 Julai sehingga 31 Julai 2024 itu disertai oleh 17 Alumni LPP.
Katanya, program itu bertujuan mengukuhkan hubungan silatulrahim dikalangan ahli Persatuan Alumni LPP di seluruh negara.
“Selain untuk mengisi tabung alumni pusat bagi membiayai program yang memberi manfaat kepada para ahli, ia juga memberi peluang bertemu dan bertukar fikiran dengan pemimpin peladang, usahawan peladang dan ahli alumni negeri yang diziarahi”, katanya ketika ditemui.
Menurutnya, sepanjang program kembara itu, Alumni LPP akan melawat Projek Sayuran PPK Kinabalu, DESA Dairy Farm, PPK Kota Marudu dan Kudat.
Salim yang juga Timbalan Pengerusi Alumni LPP Malaysia berkata persatuan itu bercadang mengumpul dana daripada orang ramai bagi merealisasikan misinya untuk membina bangunan Wisma Alumni LPP.
Katanya, jika semuanya berjalan lancar, bangunan sendiri Alumni LPP itu akan diwujudkan di Kuala Lumpur.
“Dengan adanya bangunan itu, ia membantu memudahkan penganjuran pelbagai aktiviti mantan pegawai LPP, termasuk berkongsi pengalaman dalam memajukan pembangunan Agro Madani di negara ini”, tambahnya.
Sementara Hajah Norlizah Mohamad Mantan Timbalan Ketua Pengarah LPP Malaysia dari Alumni Melaka berkata, program kembara itu dapat mengeratkan silaturahim antara alumni LPP seluruh negara dan berharap semua projek pembangunan agro yang dilaksanakan oleh LPP melalui PPN dan PPK berjalan dengan baik dan memberi manfaat kepada para peladang.
Haji Milatushamshi Iman Nawawi Mantan Timbalan Ketua Pengarah LPP Malaysia dari Alumni WP Kuala Lumpur merakamkan penghargaan kepada rakyat Sabah atas pelantikan anak Sabah sebagai Ketua Pengarah LPP Malaysia.
Haji Sunoto Yahmin dan Salleh Hj Kabul Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Alumni LPP Sabah mengalu alukan lawatan rombongan dari Alumni LPP Malaysia ke Sabah dan berharap hubungan siratulrahim antara alumni LPP semenanjung dengan Sabah akan terus terjalin erat serta dapat membawa seribu kenangan selepas melawat negeri sabah di bawah bayu ini.
PPN Sabah dibawah pimpinan pengerusinya Datuk Mohd Nazri Abdullah turut menyampaikan sumbangan kepada Alumni LPP Malaysia dan Alumni LPP Sabah.
Selain diraikan dengan jamuan makan malam, majlis itu turut serikan dengan persembahan nyanyian. Peserta program kembara turut menerima buah tangan berupa kopi Tenom.
Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam, Mantan Timbalan Ketua Pengarah LPP Malaysia Datuk Kamarul Badri Mat ALi dan Datin Kailah, pengerusi pertama PPN Sabah, Encik Cyril P. Yansalang, Timbalan Pengarah LPP Sabah, Encik Jafrin @ Julius Kaingud, Pengerusi Alumni LPP Sabah, Encik Sunato Yahmin, Pengurus Besar PPN Sabah, Encik Ruddy Hasmawie Mohamad, Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Sabah Encik Hashim Diris, Timbalan Pengerusi Alumni LPP Sabah, Encik Salleh Hj Kabul, Mantan Pengarah LPP Sabah Puan Hajah Anita Misuari dan Pengurus Wilayah NAFAS Sabah Encik Melvin Erwin J Lojikim.-pr/BNN