KOTA KINABALU: Festival Soul to Soul perlu diperluaskan ke daerah lain di negeri ini agar lebih ramai rakyat dapat menyertainya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima
Haji Hajiji Haji Noor.

Ini kerana katanya program ini telah disusun dengan pelbagai aktiviti, modul dan
pengisian yang berbentuk kerohanian serta ilmu yang bermanfaat kepada seisi
keluarga.

Beliau berkata, penganjuran festival yang antara objektifnya adalah membimbing
masyarakat mengenal dan mencintai Allah dan Rasul melalui aktiviti yang dijalankan
serta meletakkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan utama, amat penting dalam
keadaan dunia yang semakin memcabar ini.

“Jika kita lihat pada masa ini, terlalu banyak program yang berbentuk hiburan semata-
mata , yang disajikan kepada masyarakat yang boleh menyebabkan kelalaian.

“Justeru, penganjuran program berbentuk kerohanian dan keagamaan seperti Festival
Soul to Soul ini, sangat dialu-alukan, dan jika boleh diperluaskan ke daerah lain. Dalam
masa sama, wujudkan kerjasama dengan mana-mana jabatan atau agensi kerajaan
yang berkaitan dalam menganjurkan program seperti ini,” katanya ketika merasmikan
Pembukaan Festival Soul To Soul 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC)
di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata forum berkaitan kepentingan institusi kekeluargaan yang
turut diadakan sempena festival sudah pasti memberi manfaat besar terutama dalam
keadaan hari ini.

“Kita semua percaya, bahawa kejayaan sesuatu kaum atau sesebuah masyarakat,
bermula daripada sebuah keluarga. Jika sesebuah keluarga itu baik, berdisiplin,
bertataetika, maka akan terbentuklah juga ahli masyarakat yang baik, berdisiplin,
bermoral dan bertataetika.

“Sebab itu, dalam dunia yang semakin mencabar pada hari ini, kekuatan institusi
keluarga adalah komponen penting dalam proses pembentukan masyarakat dan
seterusnya negeri dan negara. Tanpa institusi keluarga yang kukuh, masyarakatnya
akan turut rapuh dan akhirnya rakyat dalam negara tidak akan sempurna.

 

“Islam memandang keluarga sebagai sebuah institusi pembentuk masyarakat yang
bakal dibina, yang mana rakyatnya kukuh dalam nilai agama dan mempunyai tahap
etika yang tinggi,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri melalui Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya, bukan sahaja
menekankan aspek pembangunan ekonomi dan kemajuan hidup rakyat, tetapi lebih
khusus, pembangunan modal insan sebagai persediaan aset masa hadapan negeri dan
negara.

“Program seperti Festival Soul to Soul ini, saya menganggapnya sebagai sebahagian
daripada program pembangunan modal insan, kerana ia juga terarah kepada mendidik
dan membentuk jiwa masyarakat, agar menjadi anggota masyarakat yang berilmu dan
berpengetahuan.

“Dalam masa sama, kita juga menginginkan rakyat di negeri bertuah ini, bukan sahaja
berpendidikan dan berbudi pekerti tinggi, tetapi juga hidup dalam suasana harmoni,
rukun dan damai tanpa mengira suku, budaya dan anutan agama,” katanya.

Festival anjuran Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah ini, bertemakan Festival
Ilmiah Untuk Seisi Keluarga, melibatkan banyak pengisian dalam mempromosikan cara
hidup Islam yang sebenar dan pentingnya meningkatkan ekonomi Islam berpandukan
Kitab Suci al-Quran dan Hadith SAW.-pr/BNN