KOTA KINABALU: Pelbagai maklumbalas orang ramai terhadap kenyataan Perdana Menteri bahawa Kerajaan Persekutuan telah memberikan lebih daripada 40%, iaitu sebanyak RM16 bilion dalam peruntukan keseluruhan bagi tahun 2024 untuk Sabah.
Menghargai apa yang telah dikatakan dan niat ucapan Perdana Menteri mengenai hal ini adalah sesuatu yang harus diterima dengan hati dan fikiran yang terbuka sebagai pendedahan tentang perhatian istimewa dan komitmen kewangan yang diberikan kepada Sabah oleh kerajaan persekutuan dalam memahami dan mengakui keperluan di Sabah.
Apabila kita bercakap tentang MA63 dan hak-hak yang termaktub di dalamnya, ramai yang nampaknya mengabaikan fakta bahawa hak Sabah dan Sarawak dalam MA63 melibatkan banyak lagi perkara lain dalam rangka kerja tersebut.
Tidak dapat dinafikan bahawa Kerajaan Persekutuan ini telah bersetuju dan menyelesaikan beberapa perkara ini di bawah Majlis Tindakan Penyelesaian Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Selepas 61 tahun pembentukan Malaysia, ini adalah kali pertama beberapa tuntutan di bawah MA63 telah dapat diselesaikan.
Perkara seperti pindaan kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, yang telah mengembalikan kedudukan asal Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan ketika Malaysia dibentuk. Pindaan kepada Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang akhirnya memberikan pengiktirafan dan nyawa perundangan kepada Perjanjian Malaysia 1963 dalam Perlembagaan Persekutuan kita.
Ini adalah perkembangan yang positif dan penting yang menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membetulkan keadaan dengan mengiktiraf peranan Sabah dan Sarawak serta kedudukan istimewa dalam pembentukan Malaysia.
Melalui penubuhan MTPMA63 oleh kerajaan persekutuan, kita telah melihat beberapa tuntutan penting diberikan dan dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak. Perkara seperti penyerahan kuasa pentadbiran ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada kerajaan negeri Sabah serta pemberian kuasa ke atas perlesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.
Antara yang telah diselesaikan sepenuhnya ialah pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182); dan pindaan kepada Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 untuk melantik wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai ahli tetap lembaga.
Bukan itu sahaja, penyerahan kuasa untuk mengawal selia bekalan gas di Sabah; pentadbiran kehakiman di Sabah dan Sarawak; penyediaan garis panduan untuk pemindahan semula tanah yang dikhaskan untuk Persekutuan di negeri Sabah dan Sarawak; serta penyerahan kuasa pengawalseliaan elektrik kepada kerajaan negeri Sabah juga telah diselesaikan.
Ini hanyalah beberapa perkara yang telah dipersetujui dan masih banyak lagi perkara lain yang sedang dikenal pasti dan dibincangkan.
Kita harus mengakui bahawa perbincangan dan rundingan ini adalah rumit dan pada masa yang sama melibatkan perkara perundangan yang kompleks yang memerlukan kajian dan pertimbangan terperinci.
Namun, apa yang meyakinkan adalah kita mempunyai Perdana Menteri yang telah bersetuju dan membenarkan perkara ini dibincangkan, dikaji dan mencari jalan untuk diselesaikan.
Tidak pernah dalam sejarah negara kita, kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang telus, menghormati perjanjian sejarah, dan ikhlas untuk memberikan pemberdayaan kewangan yang sebenar kepada Sabah dan Sarawak. Beberapa tahun yang lalu, perkara ini adalah “pantang” untuk disebut dan dibincangkan secara terbuka.
Dengan perkembangan positif ini, kita bukan sahaja berharap tetapi kita juga yakin bahawa melalui keikhlasan, komitmen dan kepimpinan Perdana Menteri kita akan memastikan bahawa pada akhirnya, apa yang termaktub dalam perlembagaan sebagai hak Sabah dan Sarawak pasti akan dihormati dan dilunaskan.
Kami mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim dan memberi jaminan bahawa PH Sabah dan rakyat Sabah sentiasa menyokong kepimpinannya dalam membina negara.
*PAKATAN HARAPAN SABAH*
YB Datuk Christina Liew, Pengerusi PH
YB Datuk Ewon Benedict, Presiden UPKO
YB Datuk Mustapha Sakmud, Pengerusi MPN Parti Keadilan Rakyat
YB Datuk Frankie Poon, Pengerusi DAP
Sdr. Lahirul Latigu, Pengerusi AMANAH.