TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengajak rakyat negeri ini mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah bagi menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan.

Katanya, rakyat perlu mengambil bahagian dalam Inisiatif “1 Rumah 1 Jalur Gemilang”, yang memberi peluang kepada semua untuk menunjukkan rasa cinta dan penghargaan kepada negara.

“Dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di setiap rumah, kita bukan sahaja memeriahkan suasana Hari Kemerdekaan tetapi juga memperkukuhkan ikatan
sebagai rakyat Malaysia”, katanya pada perasmian Program Kembara Merdeka Jalur
Gemilang (KMJG) 2024 Peringkat Daerah Tuaran di Dewan Masyarakat Pekan Tenghilan pada Jumaat.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk
Jahid Jahim.

Katanya, tahun ini merupakan tahun yang istimewa khas buat rakyat Sabah kerana buat kali pertama Hari Kebangsaan dan Hari Sabah disambut serentak secara rasmi, selepas Hari Sabah diwartakan secara rasmi pada 05 Jun yang lalu.

Menurutnya, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah penting bagi Sabah kerana
ia adalah masa bagi rakyat menghayati erti kebebasan daripada belenggu penjajahan
selama berpuluh tahun.

Beliau berkata, Merdeka bukan sekadar kata keramat yang mengandungi tujuh huruf dan memiliki tiga suku kata. Merdeka adalah hasil dari azam kukuh untuk menebus
maruah bangsa, ia adalah hasil dari perjuangan suci untuk membela tanah pusaka.

“Merdeka adalah puncak pencapaian satu perjuangan untuk memulakan perjuangan
baru. Merdeka terbina atas tiang sejarah, untuk membina sejarah baru. Merdeka
adalah milik berharga negara bangsa”, tegasnya.

Hajiji berkata, usaha mewarna dan mencorak masa depan negara terletak pada iltizam
dan kesungguhan generasi muda kerana di bahu merekalah letaknya harapan agar negara terus bersatu dan berpadu.

“Di bahu warga muda akan kita galaskan amanah agar negara terus makmur dan sejahtera. Kepada mereka akan kita wariskan tanggungjawab untuk terus memajukan
negara”.

“Tuhan telah melimpahkan bumi ini dengan kekayaan dan pelbagai peluang, justeru
warga muda wajib merebut peluang yang terbentang luas ini dengan membina keupayaan dan mencipta kejayaan lebih cemerlang dan gemilang supaya negara menjadi terbilang”, katanya.

Beliau berkata, Program KMJG bukan sekadar acara tahunan, tetapi adalah simbol
perpaduan, kebanggaan dan kesyukuran kita sebagai rakyat Malaysia.

“Ia mengingatkan kita akan pengorbanan dan usaha gigih para pahlawan negara yang
telah berjuang demi kebebasan dan kemakmuran yang sedang kita nikmati pada hari
ini”, katanya.-pr/BNN