KUDAT: Kerajaan negeri menyerahkan sejumlah 444 geran tanah anak negeri kepadapenduduk dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam daerah Kudat
melibatkan jumlah keluasan 1,130.09 hektar.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan geran-geran itu
sempena Pelancaran Program Bakti Madani Kudat 2024 di Dataran Tomborungus di
Kudat, pada Sabtu.

“Dengan penyerahan geran tanah ini, kerajaan berharap dapat meningkatkan taraf
hidup rakyat dan memberikan mereka peluang untuk membangunkan tanah tersebut
demi masa depan yang lebih cerah.

“Penyerahan geran tanah anak negeri pada hari ini berikutan beberapa siri penyerahan
geran tanah yang telah dilaksanakan di beberapa kawasan antaranya di Pitas dan di
Pintasan, Kota Belud.
“Ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri dalam memastikan hak dan kepentingan
rakyat sentiasa diberi keutamaan. Tanggungjawab ini diambil dengan penuh dedikasi
untuk memastikan kesejahteraan dan kestabilan sosio ekonomi rakyat,” katanya.
Pemberian geran itu melibatkan sebanyak 353 untuk DUN Matunggung; DUN Tanjong
Kapor (55 geran) dan; DUN Banggi (36 geran).

Pada majlis itu, Ketua Menteri turut menekankan pentingnya membawa pembangunan
di daerah berkenaan termasuk bercadang mewujudkan satu taman perindustrian yang
baharu di Kudat.

Beliau berkata, pengwujudan taman perindustrian di Kudat sesuai kerana daerah ini
mempunyai pelbagai kemudahan yang sedia ada termasuk laut yang dalam dan
pelabuhan selain lokasi yang strategik kerana dekat dengan beberapa negara seperti
China, Korea dan Jepun.

“Justeru adalah sesuai untuk kita menbawa satu program iaitu pembinaan taman
perindustrian untuk pembangunan di daerah ini.

“Seluas kira-kira 5,000 ekar kawasan diperlukan dan sudah mengenalpasti kawasan
terbabit. Oleh itu, kita memerlukan kerjasama daripada wakil rakyat, Ahli Parlimen dan
rakyat yang mungkin terlibat tanahnya.

“Konsep kita bukan ambil tanah tetapi kita libatkan rakyat yang ada tanah di kawasan
yang dikenalpasti. Bagaimanapun, kita akan berbincang lebih lanjut dengan Menteri
Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri serta Ahli Parlimen di daerah
ini,” katanya sambil menambah cadangan ini juga perlu diteliti secara terperinci terlebih
dahulu.

Mengenai majlis itu, beliau berkata Program Bakti Madani Kudat 2024 adalah satu
pendekatan yang sangat relevan bagi meluaskan lagi kefahaman konsep Malaysia
Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya kepada masyarakat hingga ke peringkat akar
umbi.

“Semua usaha kerajaan ini terutama menerusi agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya kini
berada di landasan yang betul, yang pastinya telah dan akan mampu menyediakan lebih
banyak peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Program hari ini adalah satu program yang amat baik untuk menyantuni rakyat dengan pelbagai perkhidmatan baik daripada agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, syarikat-
syarikat GLC), swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) telah disediakan menerusi reruai pameran masing-masing.

“Justeru, saya berharap program ini diperluaskan ke daerah lain agar lebih ramai rakyat
di peringkat akar umbi menerima manfaat daripada program ini. Kita akan terus
berusaha untuk membina ekonomi yang mampan dan inklusif, termasuklah mempromosikan pelaburan dalam sektor-sektor utama seperti pelancongan, pertanian,
dan perindustrian serta ekonomi baharu di negeri ini iaitu Ekonomi Biru,” katanya.-pr/BNN