PENAMPANG: Guru besar memainkan peranan amat penting dalam memastikan kejayaan transformasi pendidikan digital sekolah di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, guru besar adalah pemimpin yang membawa perubahan, memberi inspirasi dan bimbingan kepada guru-guru serta pelajar-pelajar di sekolah masing- masing.
“Oleh itu, adalah penting kepada guru besar untuk terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi pendidikan. Kerajaan negeri komited untuk
menyokong pelbagai inisiatif dan program yang bertujuan meningkatkan infrastruktur
digital di sekolah-sekolah.
“Era digital telah membawa perubahan dalam setiap aspek kehidupan kita, termasuk
dalam bidang pendidikan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk
memastikan bahawa sistem pendidikan turut beradaptasi dengan perubahan ini.
Pendidikan digital bukan sahaja sekadar penggunaan alat teknologi dalam proses
pengurusan, pengajaran dan pembelajaran.
“Pendidikan digital adalah penting untuk kita membudayakan penggunaan teknologi sebagai bahan interaktif untuk meningkatkan kualiti pembelajaran, memupuk
pemikiran kritis, dan melahirkan generasi yang inovatif dan kreatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Agung dan Konvensyen Persatuan Guru Besar Malaysia Negeri Sabah Kali Kedua di ITCC Ballroom di ITCC di sini pada Khamis. Dalam pada itu, beliau berkata aspek kualiti dan kecemerlangan pendidikan harus menjadi fokus utama dalam setiap program mendidik para pelajar.
“Pendidikan berkualiti bukan saja mampu melahirkan modal insan yang unggul dan
berkemahiran, malah akan menyediakan aset pembangunan sosial yang dinamik dan
berdaya saing.
“Sememangnya adalah menjadi hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negeri ini secara berterusan. Saya berharap persidangan ini berjaya mencapai objektifnya sekali gus mampu meningkatkan lagi kualiti pendidikan di negeri ini.
“Saya percaya bahawa dengan kerjasama dan dedikasi kita semua, kita mampu membawa pendidikan di negeri kita ke tahap yang lebih tinggi dan memastikan generasi masa depan kita bersedia untuk menghadapi cabaran dunia digital,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata kerajaan menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, turut melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasa dan mempercepatkan pembangunan prasarana teknologi digital di Sabah.
“Semua inisiatif yang kita laksanakan ini adalah bagi mempercepat pelaksanaan Pelan Strategik Kerajaan Digital di negeri ini menjelang tahun 2025.
“Kerajaan juga sudah siap memasang semua 300 buah peranti Starlink di seluruh kawasan Sabah, pada bulan Mei lalu, yang dikenal pasti mempunyai masalah sambungan internet sebagai penyelesaian interim kepada kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau percaya dengan segala inisiatif diambil ini dapat meningkatkan kualiti pendidikan di negeri ini. -pr/BNN