KOTA KINABALU: Pemerkasaan wanita merupakan satu elemen yang amat penting dalam membina masyarakat yang progresif, kata isteri Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag.

Katanya, pemerkasaan bukan saja berkaitan memberi kuasa atau peluang kepada wanita, tetapi juga memberikan kesedaran kepada setiap individu untuk memperkasakan diri mereka sendiri dan juga keluarga.

“Kita perlu menggalakkan kesedaran ini dalam kalangan wanita, lelaki dan generasi
muda. Ini kerana pemerkasaan yang sebenar adalah untuk memberikan ruang kepada
setiap individu untuk berkembang, mencapai potensi penuh mereka dan menyumbang
kepada kemajuan dan pembangunan keluarga, masyarakat, negeri dan negara”,
katanya pada Program Kesedaran Pemerkasaan Gender dan Kesihatan Mental Wanita
di Hilton Hotel pada Khamis

Beliau berkata, dalam dunia yang semakin mencabar ini, isu kesihatan mental yang
melibatkan kaum wanita tidak boleh diabaikan kerana mereka cenderung mengalami
masalah mental berbanding lelaki.

Menurutnya, secara global isu kesihatan mental melibatkan wanita direkodkan dua kali
ganda berbanding lelaki disebabkan wanita sering menghadapi tekanan yang lebih
tinggi akibat daripada pelbagai peranan yang mereka mainkan, sama ada sebagai isteri,
ibu, suri rumah, pekerja dan pemimpin dalam masyarakat.

Katanya, menurut pakar terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan kecelaruan
mental dalam kalangan wanita dan faktor paling utama adalah kerana genetik atau
keturunan.

Bagaimanapun katanya, masalah ini masih boleh berlaku disebabkan faktor lain seperti
gangguan bahan kimia dalam otak, selain faktor tekanan yang merupakan antara
penyebab masalah kecelaruan mental yang berpunca daripada diri sendiri, keluarga,
pasangan, majikan, rakan serta media sosial.

Menurutnya, masalah kesihatan mental boleh ditangani sebaiknya jika ia dicegah lebih
awal.
“Justeru amat penting kita memastikan golongan wanita mempunyai sokongan yang
mencukupi untuk menjaga kesejahteraan mental mereka, termasuklah kemudahan rawatan komprehensif merangkumi aspek fizikal dan psikologi seperti kaunseling”, tegasnya.

Juliah berkata, kerajaan negeri akan terus memperkasa golongan wanita di Sabah melalui pelbagai program pembangunan wanita yang merupakan aset yang mampu menyumbang kepada pembangunan sesebuah negeri dan negara.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM5.83 juta kepada
Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah untuk membiayai pelaksanaan program kepimpinan dan pembangunan wanita di negeri ini.

Katanya, kemudahan pinjaman mikro kredit untuk wanita diteruskan dengan peruntukan
sebanyak RM10 juta yang disalurkan kepada Yayasan Usaha Maju (YUM).

“Langkah ini adalah untuk memastikan mereka mendapat peluang dan manfaat yang
setara, dan bergerak maju ke hadapan bagi mencapai matlamat pemerkasaan gender”,
katanya.-pr/BNN