KOTA KINABALU: Membaca kenyataan Azis Jamman berkenaan isu biasiswa anak beliau, ia membuktikan beliau sering bersangka buruk dan sentiasa mencari jalan untuk mencemarkan imej Ketua Menteri Sabah.

Dalam satu kenyataan Datuk Haji Nizam Dsp Abu Bakar Titingan  Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat  Sabah berkata Datuk Seri Hajiji Noor dalam ucapannya memberikan contoh bahawa beliau sentiasa adil dalam memberikan bantuan kepada sesiapa yang memohon pertolongan, tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.

Menurut Nizam, ia adalah contoh yang sesuai memandangkan pelbagai kritikan dan fitnah dilemparkan terhadap dirinya serta kerajaan pimpinannya, beliau tetap berpendirian keadilan adalah prinsip penting yang menjadi pegangannya.

“Sejak mentadbir Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor terkenal dengan sikapnya yang sentiasa membantu pihak-pihak yang memerlukan tanpa mengira bangsa, agama ataupun pandangan politik,” katanya.

“Menceritakan situasi Azis Jamman dan keluarga yang bertemu secara peribadi dengan Datuk Seri Hajiji Noor untuk mendapatkan kelulusan biasiswa adalah contoh yang ingin diberikan oleh Ketua Menteri tentang prinsipnya yang berkhidmat untuk semua.”

“Sikap Azis Jamman yang mengambil kenyataan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai modal politik mencerminkan diri sebenar Azis yang tidak tahu bersyukur serta berterima kasih malah Azis dengan angkuh menghentam dan menghina Ketua Menteri yang berniat baik untuk membantu anaknya.”

“Saya pasti prinsip membantu semua rakyat yang memerlukan akan diteruskan oleh Datuk Seri Hajiji Noor. Sudah tentu ramai yang akan menerima manfaat daripada sikap terpuji yang dipamerkan oleh Ketua Menteri kita.”-pr/BNN

 

 

S