KOTA KINABALU: Sabah tidak akan berganjak walau seinci, malah akan tetap mempertahankan kedaulatan bumi bertuah ini selama-lamanya, tegas Ketua Menteri,
Datuk Seri Pangllima Haji Hajiji Haji Noor.

Walaupun rakyat dan negeri ini pernah diuji dengan pelbagai ancaman dan situasi,
namun tegasnya semua itu tidak akan melemahkan semangat dan iltizam rakyat untuk
terus mempertahankan Sabah sebagai sebahagian daripada wilayah Persekutuan
Malaysia.

“Wajar saya sebutkan di sini, sempena Hari Malaysia yang sangat signifikan ini, bahawa
Sabah akan terus mempertahankan kedaulatan negeri ini untuk selama-lamanya.

“Keputusan muktamad Mahkamah Agung di Belanda, yang menolak rayuan yang
difailkan oleh pihak asing baru-baru ini, merupakan berita baik untuk Sabah dan
rakyatnya.

“Keputusan muktamad itu sangat penting kepada Sabah kerana ia akhirnya
menamatkan tuntutan yang tidak pernah diiktiraf oleh rakyat dan Kerajaan. Penolakan
rayuan itu, secara langsung mengukuhkan kedaulatan Sabah dalam Malaysia yang
tidak boleh dipertikaikan, apatah lagi diganggu gugat oleh mana-mana pihak,” katanya
sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Padang
Merdeka di sini pada Isnin.

Hajiji turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim
dan Kerajaan Persekutuan yang telah berusaha bersungguh-sungguh dalam
mempertahankan hak-hak dan kedaulatan Sabah di mahkamah luar negara.

Beliau berkata, di Padang Merdeka inilah pada 16 September 1963, lebih enam dekad
lalu, Sabah memeterai perjanjian penuh bersejarah, membentuk negara Malaysia.

“Malam ini, kita bersatu hati dalam mengeratkan lagi muafakat dan kata sepakat yang
dimeterai 61 tahun lalu oleh pemimpin dan pejuang kemerdekaan tanah air terdahulu.

Pada malam ini, kita meraikan kembali detik bersejarah itu, penyatuan dua wilayah di
kepulauan Borneo dengan Semenanjung Tanah Melayu, bagi membentuk sebuah
negara bangsa yang berdaulat dan merdeka.

 

“Dalam konteks negeri Sabah, keputusan yang dibuat oleh pimpinan terdahulu di negeri
ini, antaranya seperti Tun Mustapha bin Datu Harun, Tun Mohd Fuad Stephens, Datuk
GS Sundang dan Datuk Khoo Siak Chew, bukan sahaja suatu keputusan yang bijak dan
tepat, tetapi berani, berprinsip dan berjiwa besar.

“Dengan keputusan itu, Sabah, daripada sebuah negeri yang mundur kesan daripada
penjajahan, mula memasuki era baharu, mengorak langkah menuju perubahan dan
kemajuan dalam semua aspek kehidupan,” katanya.

Hajiji berkata, pembangunan dan kemajuan negeri serta meningkatkan taraf hidup
rakyat adalah dua agenda penting yang menjadi keutamaan kerajaan.

Walaupun masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengisi kemerdekaan dan
mempertingkatkan taraf hidup rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan
pedalaman, beliau berkata sejak lebih enam dekad lalu, Sabah telah mengalami
perubahan yang cukup besar dalam pelbagai sektor pembangunan.

“Penyediaan dan menambah-baik kemudahan asas, menjadi agenda terpenting saat ini
dan kita sedang melaksanakannya. Sungguh pun program berbentuk infra ini memakan
sedikit masa, tetapi kita tetap melaksanakannya dengan matlamat tiada kawasan yang
tercicir, dan tiada rakyat yang terpinggir, termasuklah pelaksanaan program yang
berkaitan dengan pembasmian kemiskinan tegar,” katanya.

Beliau berkata, sejak menjadi rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia, perubahan
demi perubahan terus berlaku meliputi pelbagai sektor ekonomi dan pembangunan;
khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, sosio-ekonomi, infrastruktur dan tidak
kurang pentingnya dalam bidang pertahanan dan keselamatan.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha memupuk perpaduan
melalui nilai budaya dan kaum, dan menjadikan itu sebagai imej Sabah yang harmoni,
bertoleransi dan saling hormat menghormati.

“Hakikatnya, Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk yang menjadi
kebanggaan kita bersama sejak sekian lama. Fenomena kepelbagaian ini lebih terasa
dan lebih menyerlah dalam konteks Sabah dan Sarawak,” katanya.-pr/BNN