KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengajak
masyarakat Islam agar sentiasa menjadikan peribadi dan keterampilan Nabi
Muhammad SAW sebagai contoh dalam diri masing-masing.

Katanya, melalui keperibadiannya yang luar biasa mulia dan disanjung itu, Nabi
Muhammad SAW berjaya menyatukan kaum muhajirin dan ansar selepas berlakunya
peristiwa Hijrah pada 622 masihi di Madinah.

Beliau berkata, penyatuan ini bukan sahaja membina hubungan baik antara manusia
dengan Allah SWT, juga perubahan dan era baharu konsep persaudaraan dengan
membangunkan model komuniti bertunjangkan Islam dalam menyatupadukan
penduduk Madinah yang berbilang kaum dan agama.

“Justeru, konsep perpaduan dalam kepelbagaian kaum dan agama yang diperkenalkan
oleh Rasullulah amat penting diteruskan, ke arah memastikan lebih banyak kejayaan
dan pembangunan dapat dinikmati di negeri ini.

“Melalui berselawat, diharapkan kita sentiasa memperingati sekaligus menjadi umat
Islam yang mahukan kejayaan dunia dan akhirat”, katanya ketika merasmikan Program
Sabah Berselawat 2024 di Dewan Sa’adah Wisma MUIS pada Khamis.

Hajiji berkata, menjadi tanggungjawab umat Islam mengangkat dan mengagungkan
kerasulan Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi akhir zaman, mengasihi dan
mencintainya sepanjang hayat serta mendekati-Nya dengan berselawat kepadanya
setiap masa dan ketika.

“Meskipun tidak berkesempatan bertemu dengan Rasulullah S.A.W, namun kita masih
berpeluang untuk mendalami dan mengamalkan sunnah dan sirah Baginda. Hal ini
merupakan antara bukti kecintaan kita kepada Baginda, satu-satunya Nabi dan Rasul
yang berupaya memberikan syafaat kepada seluruh umatnya di hari kemudian nanti.

Berselawat ke atas Rasulullah S.A.W sebenarnya dapat mendidik diri, hati, jiwa dan
akal kita untuk menjadi umat yang sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang
dikurniakan”, tegas beliau.

Katanya, Program Sabah Selawat anjuran Stesen Radio SABAHfm merupakan antara
program tonggak RTM Sabah yang bertujuan mengimarahkan sambutan Maulidur
Rasul dalam kalangan umat Islam di negeri ini khususnya di Kota Kinabalu.

Menurutnya, program itu merupakan kali kedua dianjurkan juga menjadi medium
mendekatkan golongan belia dengan program-program keagamaan yang turut
menampilkan penceramah terkenal dalam dan luar negara.-pr/BNN