TUARAN: Rakyat negeri ini perlu sentiasa mencontohi perilaku Nabi Muhammad SAW
dalam mengekalkan keharmonian antara masyarakat, kata Ketua Menteri, Datuk Seri
Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, kita harus terus menjaga keharmonian pelbagai kaum dan agama di negara
ini dengan mencontohi Nabi Muhammad SAW dalam segala perilaku dan usahanya menjaga hubungan antara umat Islam dan bukan Islam.

“Budi pekerti Rasulullah ini juga memberi pengajaran bahawa umat Islam mestilah
mengikis sikap mudah selesa, mudah berpuas hati dengan pencapaian yang ada,
sebaliknya perlu sentiasa bekerja dan berusaha ke arah mencapai kejayaan yang lebih
cemerlang.

“Justeru, saya mahu rakyat agar bersama-sama kerajaan dengan memainkan peranan
masing -masing terutama sekali dalam membantu menjayakan setiap agenda
pembangunan negeri ini”, katanya pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah
Tuaran Tahun 1446 Hijriah/ 2024M di Dewan Seri Sulaman pada Khamis.

Beliau berkata, sambutan Maulidur Rasul yang diadakan bukan sekadar untuk
memperingati dan meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW semata-mata,
sebaliknya merupakan wadah untuk mengikis mentaliti cepat puas hati dan
membebaskan diri daripada perangkap zon selesa (complacency) terutama sekali di
kalangan anak-anak muda dan belia.

Hajiji berkata, semangat Maulidur Rasul perlu terus disemarakkan dan disemai dalam
jiwa setiap umat Islam sebagai bukti ketulusan cinta terhadap Rasululullah SAW.

“Saya ingin mengajak kita semua untuk merenung kembali perjalanan hidup Rasulullah
SAW, yang penuh dengan pengajaran dan hikmah. Baginda bukan sahaja seorang
rasul, tetapi juga seorang pemimpin, pendidik dan contoh teladan yang agung”, katanya.

Menurutnya, kejayaan sesebuah negara tidak dicapai dalam sehari, tetapi melalui usaha
yang berterusan dan komitmen semua pihak dari kepimpinan yang berwawasan hingga
kepada penglibatan aktif rakyat.

Katanya, setiap elemen memainkan peranan penting dalam memacu kejayaan negeri
dan negara. Dengan menggabungkan kekuatan pelbagai aspek, sesebuah negara boleh mencapai kejayaan yang mampan, menyeluruh bagi memastikan kesejahteraan serta kemakmuran rakyat dapat dicapai.

“Semoga sambutan Maulidul Rasul ini menjadi titik tolak bagi kita untuk terus memperkukuhkan integriti, etika, dan kemajuan dalam membentuk masyarakat yang
harmoni dan sejahtera. Marilah kita bersama-sama mengambil iktibar daripada ajaran
dan kehidupan Rasulullah SAW untuk terus maju dan berdaya saing dalam mengangkat
martabat umat, negeri dan negara kita”, katanya.-pr/BNN