KOTA KINABALU: Jetama Sdn.Bhd, anak syarikat Sabah Development Berhad (SDB) telah diberi kepercayaan oleh Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek perintis

“Solar-Powered Nano Filtration Drinking Water System” untuk membantu menyelesaikan isu masalah bekalan air minum di kawasan terpencil atau dilanda bencana.

“Solar-Powered Nano Filtration Drinking Water System” yang diinovasikan oleh Jetama akan dilaksanakan di 3 buah kampung iaitu Kampung Pulau Berhala Sandakan, Kampung Tanjung Batu Sukau dan Kampung Paris, Kinabatangan

Pengerusi Jetama Water Sdn.Bhd, Liau Fui Fui berkata,“Solar-Powered Nano Filtration Drinking Water System”, atau dikenali secara komersial sebagai “Jetama Solar Powered & Mobile Drinking Water System” merupakan sistem air minuman mudah alih berkuasa solar untuk membantu Kerajaan Negeri Sabah dalam menyelesaikan isu bekalan air minum terutamanya di kawasan terpencil atau yang dilanda bencana.

Katanya, Kerajaan Negeri telah mengamanahkan syarikat konsesi air, Jetama melaksanakan projek perintis itu di kawasan-kawasan yang menghadapi masalah bekalan air bersih di negeri ini.

Menurutnya, sistem ini juga menggunakan tenaga suria dengan menggunakan panel solar untuk penjanaan tenaga kepada sistem rawatan air minum mudah alih ini.

“Dengan kelengkapan tersebut sistem ini adalah mampan dan mudah alih, menjadikannya sesuai untuk lokasi terpencil yang tidak mempunyai akses tenaga grid.

“Penghasilan air minuman yang menggunakan sistem solar oleh Jetama ini terdiri daripada panel solar untuk menjana elektrik, yang seterusnya akan memberikan tenaga kepada sistem rawatan air untuk beroperasi”, katanya kepada media pada pameran sempena Persidangan Antarabangsa Ekonomi Biru Sabah 2024 (SIBEC 2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim telah merasmikan SIBEC 2024. Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Fui-Fui berkata, antara faedah-faedah ‘Jetama Solar-powered & mobile drinking water system’ ialah ianya mesra alam kerana menggunakan tenaga suria iaitu sumber tenaga bersih dan boleh diperbaharui serta mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil dan meminimumkan pelepasan karbon.

“Selain itu, ia juga kos efektif kerana setelah pemasangan, kos operasi adalah minimum kerana cahaya matahari adalah percuma, dan system ini juga tidak menggunakan bahan kimia. Justeru ianya amat berfaedah di kawasan yang terpencil yang tidak mempunyai akses kepada elektrik grid.

“Dari segi reliabiliti, melalui penyelenggaran yang betul, panel solar dan penapis nano ini mempunyai jangka hayat yang panjang dan boleh menyediakan sumber air minum yang terawat dan berkualiti dan selamat untuk diminum, terutama di kawasan terpencil yang tidak mempunyai system rawatan air minum atau bekalan air melalui air graviti dan air telaga.

“Setiap pemasangan unit ini boleh menampung air minuman yang bersih kepada 5,000 hingga 7,500 orang (berdasarkan penggunaan 4L hingga 6L setiap orang)”, katanya.

Fui Fui berkata, penapis nano merupakan sistem penapisan termaju menggunakan teknologi nano untuk membuang zarah dan bahan cemar daripada air mentah.

“Secara keseluruhannya, sistem air minuman “Jetama Solar-Powered & Mobile Drinking Water System” adalah satu sistem penapisan nano berkuasa solar yang mampu menawarkan penyelesaian yang mampan untuk menyediakan air minuman bersih kepada rakyat Sabah terutamanya di kawasan terpencil dan di luar grid elektrik” tambahnya.- pr/BNN