PENAMPANG: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH)
Plus menekankan kepentingan prinsip politik sopan-santun, politik perpaduan dan
politik pembangunan sebagai acuan dalam membawa Sabah ke arah kemajuan dan
kemakmuran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata beliau berpendirian tiga prinsip itu penting untuk dipelihara dan terus diamalkan sesuai dengan cara hidup
orang Sabah yang ramah-tamah, bertoleransi dan berharmoni.

Beliau berkata, sejajar dengan cara hidup orang Sabah itu, rakyat pelbagai etnik di
negeri ini wajib menyemai dan menyuburkan semangat ‘ethnic trust building’ bagi
mengekalkan kerukunan dan suasana harmoni dalam kehidupan masyarakat.

“Sesungguhnya, sebagai rakyat Malaysia dan orang Sabah, kita semua menginginkan
kemajuan dan pembangunan yang boleh dinikmati sepenuh-penuhnya.

“Kita juga mahukan keamanan dan kemakmuran yang hakiki, tanpa perlu ada rasa takut atau terancam dalam menjalani kehidupan. Semua keinginan ini hanya boleh
dicapai jika negeri dan negara kita aman dan stabil, rukun dan damai,” katanya ketika
merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-39, di
Dewan Hongkod Koisaan, di sini, pada Selasa.

Hajiji turut menekankan kepentingan kestabilan politik sebagai asas kepada kemajuan
dan kesejahteraan sesebuah negeri dan negara dalam konteks berkerajaan.

“Tanpa kestabilan dan keamanan, segala yang kita inginkan hanya tinggal angan- angan. Kestabilan politik sukar untuk dicapai jika pemimpin bercerai-berai.

“Kestabilan politik juga tidak akan menjadi kenyataan jika rakyat saling bersengketa
dan berbalah, yang akhirnya membawa kepada perpecahan, kelemahan dan
kehancuran,” katanya.

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata
dalam konteks keluarga besar GRS yang terdiri daripada pelbagai parti, meskipun
berbeza latar belakang perjuangan, semua parti komponen berkongsi objektif yang
sama atas nama negeri dan rakyat Sabah.

Objektif itu, katanya iaitu ke arah Sabah yang bersatu, progresif, dinamik, aman dan
sentosa menjadi pegangan GRS bersandarkan konsep memperkukuh kesatuan dalam
kepelbagaian.

“Melalui gabungan ini juga, kita menyelami hati budi rakyat dan memperjuangkannya demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.

“Justeru, di dalam gabungan ini, perbezaan dan kepelbagaian bukannya batu
penghalang untuk kita terus mengorak langkah ke hadapan, membentuk suatu
kesatuan demi mencipta perpaduan dan kejayaan.

“Sebaliknya, kepelbagaian yang kita warisi ini adalah kelebihan kita bersama yang
harus dimanfaat dan dipelihara. Kelebihan ini jika terus dipupuk dan dijaga, ia akan
terus menjadi asas kukuh bagi kekuatan dan keteguhan kita.

“Kelebihan inilah yang telah mewujudkan GRS yang menjadi tunjang pemerintahan
negeri, yang kini turut didukungi oleh sahabat-sahabat kita dari PH dan rakan-rakan
yang lain,” katanya.

Dalam gabungan itu, katanya agenda utama GRS-PH Plus ialah komitmen untuk
menjaga kepentingan bersama meliputi segenap lapisan masyarakat, secara adil dan
saksama, tanpa mengira kelompok majoriti atau minoriti.

Hajiji turut mengakui lumrah perjuangan terutama dalam berpolitik yang sekali-sekala
berlaku perbezaan pendapat dan pendekatan berkaitan isu tertentu yang turut berlaku
dalam GRS.

Jelasnya, semua itu adalah hakikat kehidupan yang menuntut untuk sentiasa berfikiran
terbuka, saling memberi dan menerima, meraikan persefahaman dan menggalakkan
permuafakatan.

“InsyaAllah, gabungan ini akan terus kita perkukuhkan demi kejayaan yang lebih besar
dan lebih bermakna untuk kecemerlangan masa hadapan,” katanya.

Dalam ucapannya, Hajiji turut menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang diakuinya sudah semakin hampir untuk kerajaan pimpinannya  memulangkan kembali mandat kepada rakyat melalui proses demokrasi.

Katanya, sebagai kerajaan hari ini, GRS-PH Plus akan terus berkhidmat dan menawarkan diri kepada rakyat bagi meneruskan kesinambungan pembangunan dan usaha memakmurkan negeri serta rakyat Sabah.

“Tahun 2025 adalah tahun pilihan raya. Maknanya, kita akan serah kembali kuasa
kepada rakyat untuk diputuskan melalui peti undi, sesuai dengan amalan demokrasi. Sebagai “Government of the Day”, GRS-PH Plus, akan terus berkhidmat dan berbakti
selagi tempoh pemerintahan ini belum berakhir.

“Menjelang pilihan raya nanti, kita akan terus menawarkan parti kita dan gabungan kita
kepada rakyat kerana masih banyak yang perlu kita lakukan untuk membangunkan
negeri yang tercinta ini.

“Sebagai kerajaan pilihan rakyat, GRS-PH Plus adalah platform terbaik untuk kita
memantapkan gabungan demi meneruskan agenda perjuangan,” katanya.

Hajiji berkata, PRN17 menuntut usaha bagi memperkukuh kerjasama, mengeratkan
perpaduan dan memperhalusi strategi dalam memastikan GRS-PH Plus sebagai
pilihan terbaik untuk seluruh rakyat.

Beliau memberi jaminan gabungan GRS-PH Plus bukan saja berupaya dan berkebolehan, malah ikhlas dalam perjuangan yang mana rakyat boleh meletakkan kepercayaan dan menyandarkan harapan.

Mengenai persidangan PBS, Hajiji mengakui perhimpunan di Hongkod Koisaan menyerlahkan kedudukan parti itu sebagai antara parti komponen GRS paling kanan
yang diyakini berupaya menyumbang idea bernas dalam melaksanakan pelbagai
program pembangunan kerajaan. Katanya, PBS yang ditubuhkan hampir 40 tahun lalu terus mara mengharungi samudera politik Sabah yang kadang-kala bergelora tetapi penuh dengan warna-warni.

“Situasi itu menyebabkan Sabah sering menjadi tumpuan penganalisis politik, termasuklah parti PBS ini sendiri, kerana PBS adalah ‘part and parcel of Sabah Politics’, yang sejak dahulu sering menarik perhatian umum,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah pengasas PBS, Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin
Kitingan; pemangku Presiden PBS yang juga Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri
Panglima Dr Joachim Gunsalam, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang
juga Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.-pr/BNN