KOTA KINABALU: Kenyataan terbaharu bekas CEO Sabah Mineral Management (SMM), Jontih Enggihon, yang mendakwa dirinya tidak terlibat sebagai “orang tengah” dalam kes rasuah melibatkan wakil rakyat Sabah, merupakan satu lagi cubaan untuk mengaburi mata rakyat.
Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Limbahau, Steve Johnny Mositun, berkata, jika Jontih benar-benar tidak bersalah dan ikhlas dalam mencari kebenaran, beliau sepatutnya melaporkan segala bukti dan maklumat yang ada secara terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan bukannya membuat “drama murahan” politik yang hanya menimbulkan kekeliruan.
Menurutnya, langkah beliau (Jontih) membuat kenyataan umum tanpa melalui saluran yang betul seperti SPRM adalah tanda jelas bahawa beliau tidak datang dengan niat yang bersih.
“Rakyat Sabah tidak akan tertipu dengan permainan ini; jika beliau benar-benar ikhlas, maka tiada sebab untuk mencetuskan drama politik melalui media,”.
“Sebaliknya, tindakan beliau ini membayangkan adanya agenda tersembunyi, mungkin untuk melindungi kepentingan sendiri atau menutup kesalahan lalu,” ujar Steve, yang juga Ketua Penerangan Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Justeru, beliau menyeru Jontih untuk berhenti mencipta sensasi dan segera membawa bukti yang ada kepada SPRM jika beliau serius ingin membersihkan namanya.
“Melakukan perkara ini melalui jalan yang sah adalah cara yang bertanggungjawab dan berintegriti,”.
“Sebaliknya, mengheret isu ini ke khalayak ramai dengan cara yang tidak profesional hanya menunjukkan bahawa beliau tidak datang dengan “tangan yang bersih” dalam hal ini,” tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa GRS berdiri teguh dalam memerangi rasuah dan menolak sebarang usaha untuk menggugat kestabilan politik negeri ini dengan isu-isu yang tidak bertanggungjawab, dan rakyat Sabah berhak kepada ketelusan dan keadilan.
Justeru, katanya, jika Jontih benar-benar berada di pihak yang benar, harus dibuktikan melalui tindakan yang bertanggungjawab, bukan dengan cara yang mengundang pelbagai persepsi negatif dalam kalangan netizen, dan mencemar integriti negeri Sabah.
“Kenyataan ini adalah peringatan kepada semua pihak agar tidak menjadikan politik Sabah sebagai alat permainan yang merugikan rakyat.
“Sabah memerlukan pemimpin yang berani dan berintegriti, bukan mereka yang bermain di belakang tabir untuk kepentingan diri sendiri,” katanya.-pr/BNN