PUTATAN: Kerajaan berusaha menanam semangat kekeluargaan melalui konsep
Kasih MADANI dan perlaksanaan “November Bulan Keluarga Kebangsaan” untuk
melahirkan masyarakat yang stabil, harmoni dan sejahtera.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, bagi menyemarakkan
sambutan ini, Mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan pada 3 November 2023 telah
bersetuju dengan cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat untuk memperluaskan sambutan itu diperingkat semua kementerian dan
kerajaan negeri, mulai tahun ini.

Justeru katanya, semua kementerian termasuk semua pihak di negeri ini diharapkan
untuk turut sama menjayakan November sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan.

“Perlaksanaan aktiviti hari keluarga di setiap kementerian dan agensi kerjaan juga perlu
dijadikan acara tahunan wajib pada setiap bulan November. Bagi sektor swasta, NGO
dan komuniti amatlah digalakkan supaya melaksanakan program kesejahteraan
keluarga”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan November Bulan Keluarga
Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2024 dan Program Jerayawara Santuni Komuniti
Madani PEKA@LPPKN kawasan Parlimen Putatan di Dewan Sri Putatan pada Sabtu.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya
Negeri, Datuk lr. Shahelmey Yahya.

Katanya, perkembangan pesat teknologi, penggunaan gajet dan media sosial menjadi
satu cabaran kepada keluarga sehingga kanak-kanak dan remaja kini terdedah kepada
pelbagai pengaruh yang boleh menjejaskan perkembangan mereka.

Beliau berkata, menurut kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (UNICEF) lebih 70% kanak-kanak di Malaysia menggunakan internet sejak usia
kecil, yang menuntut ibu bapa untuk lebih bijak dalam mengawal akses anak-anak
kepada teknologi itu.

 

“Justeru, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan agensi dan badan bukan kerajaan
(NGO) dalam memperkenalkan program literasi digital untuk keluarga”, katanya.

Hajiji berkata, kesedaran keselamatan keluarga harus bermula daripada pendidikan dan
latihan yang konsisten dan anak-anak perlu dididik dengan nilai keselamatan, sama ada
dalam aspek fizikal, emosi, mahupun siber.

Menurutnya, berdasarkan statistik daripada Cybersecurity Malaysia, kes jenayah siber
yang melibatkan remaja meningkat 15% pada tahun 2023, menunjukkan pentingnya
langkah-langkah pro-aktif daripada ibu bapa dan pendidik untuk melindungi generasi
muda.

“Saya yakin usaha yang dilakukan melalui sambutan ini dan pelbagai program seperti
PEKA@LPPKN dapat meningkatkan lagi kesejahteraan institusi keluarga di Sabah”,
katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga komited untuk memperkasakan wanita menerusi
program-program pembangunan dan latihan yang memberi fokus kepada kesaksamaan
gender kerana peranan wanita sebagai ibu, isteri, dan anggota masyarakat, sangat
penting dalam sesebuah keluarga.

Beliau berkata, aspek kesihatan mental juga tidak boleh diabaikan dalam menjaga
kesejahteraan keluarga kerana ia memberi implikasi yang besar kepada kestabilan
emosi dan sosial keluarga.-pr/BNN