KOTA KINABALKU: Bermula daripda 01 Disember 2024, Kerajaan Negeri Sabah akan melaksanakan dasar baharu 30% kuota bumiputera dalam sektor perumahan
swasta.

Menurut kenyataan Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan dan Perumahan, bagi memastikan dasar 30% Kuota Bumiputera ini mendatangkan manfaat optimum kepada pembeli berstatus bumiputera, kerajaan Negeri Sabah telah menambahbaik dasar tersebut dengan membuat beberapa pindaan yang
bersesuaian.

30% kuota bumiputera adalah dikekalkan di mana pemaju perumahan swasta hendaklah memastikan 30% daripada jumlah unit rumah yang dibina adalah diperuntukkan kepada pembeli berstatus bumiputera bersama hak untuk memilih lot rumah. ini bermaksud pembeli berstatus bumiputera adalah berhak untuk memilih lot rumah yang mereka inginkan dan pemaju tidak lagi dibenarkan untuk menetapkan lot rumah untuk dijual kepada pembeli berstatus bumiputera seperti yang diamalkan sebelum ini.

Bagi mempermudahkan urusniaga hartanah di kalangan pembeli rumah berstatus bumiputera, bermula dari tarikh kuatkuasa dasar baharu ini, larangan menjual semula lot rumah milik pembeli berstatus bumiputera yang dikuatkuasakan sebelum ini adalah dimansuhkan.

Dengan itü pembeli berstatus bumiputera boleh menjual semula rumah yang diperuntukkan daripada kuota 30% bumiputera kepada mana-mana pembeli tanpa sebarang sekatan. Bagi lot rumah milik pembeli berstatus bumiputera yang telah dikeluarkan geran tanah yang mengandungi sekatan atau larangan menjual semula sebelum tarikh berkuatkuasa dasar baharu ini, pemilik geran rumah boleh mengemukakan permohonan kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) untuk memadamkan sekatan atau larangan tersebut berdasarkan SOP Jabatan Tanah dan Ukur (JTU)

Apa-apa diskaun atau rebat yang diberikan oleh pemaju kepada pembeli bukan bumiputera hendaklah ditambah kepada diskaun 5% sedia ada yang diberikan kepada pembeli berstatus bumiputera. Ini bermaksud jika pembeli bukan bumiputera mendapat 15% diskaun atau rebate, maka pemaju perumahan swasta tersebut hendaklah memastikan pembeli berstatus bumiputera mendapatkan diskaun sebanyak 20%.

Dasar Baharu ini adalah selaras dengan usaha kerajaan Negeri Sabah untuk mengurangkan birokasi dalam urusan jual beli lot rumah oleh golongan bumiputera. Kerajaan juga percaya dengan dasar baharu ini, lot rumah milik golongan bumiputera akan mencapai peningkatan nilai pasaran yang setaraf dengan lot rumah yang dimiliki golongan bukan bumiputera.-pr/BNN