KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah, Aksyah Nasrah hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu dan menyokong perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau mengumumkan meletakkan semua jawatan dalam BERSATU berkuatkuasa serta merta.
“Saya ingin mengumumkan bahawa saya telah meletakkan semua jawatan dalam parti BERSATU dan mengisytiharkan keluar daripada parti itu berkuatkuasa serta merta.
“Saya telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee bertarikh 28 Disember 2024 dan salinan surat kepada Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agong BERSATU.
“Peletakan jawatan ini dibuat atas keputusan saya sendiri dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa pun”, kata Aksyah dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, beliau menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan perjuangan GRS dalam mempertahankan hak-hak dan kepentingan Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah.
Justeru katanya, slogan “Rumah Kita, Kita Jaga” merupakan satu naratif yang amat tepat dalam memastikan Sabah benar-benar dipimpin dan diurus oleh kepimpinan parti tempatan tanpa menidakkan hubungan baik dengan pihak Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, beliau melihat dan menyedari, bahawa selaku Ketua Menteri, Hajiji yang juga Pengerusi GRS ikhlas dalam memajukan Sabah melalui GRS.
Aksyah berkata, kejayaan besar Hajiji adalah menyatupadukan pemimpin dan rakyat Sabah melalui satu gabungan wadah politik Gabungan Rakyat Sabah. Perpaduan rakyat Sabah ini merupakan perkara pokok yang menjadi teras kepada kemajuan negeri.
Beliau menyeru agar rakyat Sabah seharusnya memberikan sokongan padu terhadap dasar, perancangan baik dan gagasan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang telah digagaskan oleh Hajiji kerana manfaatnya adalah untuk rakyat Sabah hari ini dan generasi akan datang.
“Melalui penyatuan dan gabungan semua parti-parti tempatan, yang mewakili majoriti rakyat Sabah, saya yakin dan percaya Hajiji dan GRS mampu membawa negeri Sabah lebih maju dan berjaya dalam semua sektor dan bidang demi kepentingan dan faedah rakyat keseluruhannya.
“Apa guna kita berpecah? Hajiji berniat baik satu padukan kita semua. Ini masa terbaik kita majukan negeri kita yang tercinta melalui GRS.
“Kita beri mandat penuh kepada GRS dalam Pilihanraya Negeri Sabah (PRN) Ke-17 ini! Dan saya juga akan turut serta membantu Hajiji dan GRS pada PRN-17 ini.” katanya.-pr/BNN