KOTA KINABALU: Ucapan ‘PALUI’ atau bodoh yang diucapkan oleh Timbalan Presiden Parti Bersatu, Datuk Seri Hamzah, terhadap rakyat Sabah dianggap sebagai tindakan biadap dan kurang ajar, kata Datuk Zulkarnain Mahdar, Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Sabahan (G57) & Ketua Penasihat Gerakan Bangkit Sabahan.

Katanya Video yang tular oleh pemimpin tersebut jelas telah melukakan hati dan perasaan seluruh rakyat Sabah.

“Walaupun perkataan ‘Palui’ atau ‘bodoh’ tersebut mungkin ditujukan khusus kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji, ia mengundang kemarahan majoriti rakyat Sabah. Serangan terhadap sesiapa sahaja dari luar Sabah hanya akan menguatkan solidariti kami terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

“Oleh itu, Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) dan ahli-ahli Gabungan Gerakan Bangkit Sabah akan membuat laporan polis di seluruh Sabah bermula hari ini dan esok untuk memastikan tindakan tegas diambil terhadap Hamzah.”

“G57 juga menggesa kerajaan negeri Sabah menggunakan kuasa imigresen yang ada untuk menghalang pemimpin dan aktivis politik dari Semenanjung Malaysia yang mempunyai sejarah menghina atau berpotensi mencetuskan huru-hara di Sabah daripada memasuki negeri ini.”

Sebelum ini, Fahmi Reza juga telah menghina rakyat Sabah dengan melukis karikatur yang jelik, yang membangkitkan kemarahan majoriti rakyat Sabah.

Rakyat Sabah bukanlah rasis dan mempunyai kesabaran yang tinggi. Namun, tindakan politik yang memperlekehkan orang Sabah semakin menjadi-jadi dan perlu dihentikan dengan langkah tegas termasuk penghalangan mereka daripada memasuki Sabah, katanya.-pr/BNN