KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) seharusnya bertanggungjawab membuat
pemantauan, pemeriksaan yang kerap dan rapi serta berjadual terhadap jalan-jalan
yang rosak di mana sekali pun, sama ada di bandar-bandar besar atau kawasan pekan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan, jabatan itu jangan
menunggu sehingga berlaku kemalangan baru kelam-kabut bertindak.

Katanya, beliau begitu sedih dengan viral kejadian seorang pengguna jalanraya
(menunggang motorsikal) maut gara-gara jalanraya yang dibiarkan berlobang yang
berlaku dalam kawasan Bandaraya Kota Kinabalu baru-baru ini.

“Sementara perkara ajal dan maut itu adalah takdir yang telah ditentukan, tetapi jalan-
jalan yang rosak ini, tidak kira di mana sekali pun, di bandar-bandar besar atau kawasan pekan, pihak JKR seharusnya bertanggungjawab membuat pemantauan atau pemeriksaan yang kerap dan rapi serta berjadual.

“Jangan tunggu sampai ada aduan atau arahan, baru mau bergerak! Ini adalah zaman
dimana segala-galanya berada di hujung jari. Silap sedikit, pasti ada yang tukang viral
sambil menyalahkan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ketua Menteri.

“Yang dilihat dan yang ditegur bukannya Kementerian atau Jabatan yang berkenaan,
tetapi Kerajaan dan Ketua Menteri”, katanya pada Majlis Amanat Tahun Baru 2025
Ketua Menteri Bersama Penjawat Awam di Negeri Sabah di Sabah International
Convention Centre (SICC) pada Khamis.

Hajiji berkata, begitu juga dengan isu air, isu elektrik, isu setinggan haram oleh golongan
PTI dan bermacam-macam lagi isu terkait kepentingan rakyat yang sepatutnya dapat
diatasi jika kita cekap, pantas dan tangkas dalam bertindak dan menunaikan kewajipan.

Mengenai isu air, katanya, masalah itu yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu yang
tidak memahami isu bekalan dan pembahagian air, telah bertindak melakukan
rombakan dan perubahan drastik dalam jabatan berkenaan sehingga pegawai yang
berpengalaman dipindah, selain kontraktor sedia ada, diganti.

“Akibatnya, sekarang bekalan air terputus-putus di sana sini, malah ada air tetapi masin.
Semuanya berpunca daripada masalah pengurusan bekalan air yang tidak cekap, dan
lebih memburukkan lagi keadaan, berlaku kecurian bekalan air yang berleluasa yang
sangat luar biasa, sehingga mencecah 60% air bersih kita hilang dicuri orang.

 

“60% non-revenue water (NRW) bukan sedikit. Lebih separuh air bersih kita hilang. Ini
tanggungjawab Jabatan Air untuk kenalpasti di mana dan bagaimana punca-punca
kehilangan itu berlaku.

“Saya difahamkan bahawa 60% NRW itu kini berjaya diturunkan setelah dikenalpasti
beberapa kawasan yang terdapat penyambungan haram dengan menghentikan
penyambungan tersebut ke perkampungan setinggan haram. Persoalan saya, apa
jaminan penduduk setinggan haram tersebut tidak menyambung semula saluran air
berkenaan?”, katanya.

Katanya, Kementerian dan Jabatan yang terlibat sepatutnya bertindak pantas
menjelaskan kepada rakyat apa sebenarnya masalah yang berlaku dan dihadapi
sekarang.

Beliau mengambil contoh, projek dan kerja-kerja memperbaiki Loji Rawatan Air Telibong
2, telah pun siap, tetapi bekalan air masih belum mencukupi kerana proses pemasangan
paip baharu yang menyalurkan air dari lori itu ke Sepanggar dan sekitar Kota Kinabalu,
masih dalam pembinaan, dan hanya akan siap sebelum akhir tahun ini.

Menurutnya, untuk bekalan air kepada penduduk di sebelah Putatan, pihak Jetama
sedang membina Urgent Water Supply Scheme, iaitu loji baharu berkapasiti 5 juta liter
sehari (MLD). Projek ini dijangka siap pada bulan Mei nanti yang akan menghasilkan
pertambahan 5 juta liter sehari (MLD) khusus untuk kawasan sekitar Putatan.

Katanya, Projek Loji Rawatan Air Kogopon 2 di Papar yang masih dalam pembinaan,
dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan yang akan meningkatkan kapasiti air
terawat untuk kawasan Papar dan juga Putatan.

Hajiji berkata, bagi memastikan bekalan air yang konsisten untuk jangkamasa panjang,
Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat berkolaborasi membina Empangan
Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom, yang dijangka siap pada 2029.

“Projek mega ini akan menjadi sumber bekalan air mentah, terutama ke beberapa
daerah utama di Sabah. Dengan projek ini juga aliran bekalan elektrik akan
diperluaskan dengan menghubungkan rantau selatan dan tenggara Sabah, sekali gus
mencipta rangkaian tenaga yang lebih stabil”, tegasnya.-pr/BNN