KOTA KINABALU: Kerjasama rapat antara pimpinan negeri dengan penjawat awam,
telah menghasilkan pencapaian dan kejayaan yang baik, khususnya dalam proses
pemulihan semula ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, selaku tenaga yang
menggerakkan jentera kerajaan, penjawat awam adalah nadi utama kerajaan,
pelaksana segala dasar dan program pembangunan yang ditetapkan.

Katanya, tanpa penjawat awam dari pelbagai sektor selaku pelaksana dasar dan urus
tadbir sistem penyampaian, urusan pentadbiran akan pincang, rakyat dan negeri akan
rugi, dan Kerajaan akan menerima padahnya akibat ketidakcekapan atau lemah dalam
pentadbiran.

Beliau menekankan betapa pentingnya nilai-nilai integriti dalam diri setiap penjawat
awam, kerana nilai murni itu akan menjadi benteng diri daripada terjerumus ke dalam
lembah kehinaan dan kesusahan, akibat salah laku, salah guna kuasa, rasuah dan
sebagainya.

Menurutnya, anggota penjawat awam memikul amanah dan tanggungjawab yang
besar yang wajib dilaksanakan dengan hati yang ikhlas, penuh kejujuran dan keinsafan.

“Justeru, menjadi obligasi kepada kita untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan
dengan sebaik-baiknya, tanpa memikirkan kepentingan diri atau mencari keuntungan
daripadanya.

“Perlu diingat, anda mempunyai obligasi untuk menjalankan tugas dengan penuh
dedikasi dan kejujuran, dengan cekap dan berkesan, bukan semata-mata untuk
menyara hidup diri dan keluarga, tetapi juga untuk kebaikan dan kecemerlangan
organisasi yang diwakili, termasuk obligasi terhadap negeri dan rakyat.

“Ini satu tanggungjawab yang berat, dan hanya dapat digalas dengan sempurna jika kita
memiliki nilai-nilai integriti yang tinggi”, katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu
20205 Ketua Menteri Bersama Penjawat Awam di Negeri Sabah di Sabah International
Convention Centre (SICC) pada Khamis.Hajiji berkata, penjawat awam yang berjawatan tinggi, sama seperti ahli politik sentiasa menjadi tumpuan dan perhatian, terutama trend sekarang, CCTV ada di mana-mana, dan kadangkala rakyat itu sendiri yang menjadi CCTV!

“Jadi, kenalah berhati-hati dalam memikul tugas dan tanggungjawab yang
diamanahkan. Dalam era yang dikuasai oleh kemajuan teknologi rakaman, setiap
langkah dan tuturkata kita mungkin didengar atau dirakam tanpa kita sedari, menjadikan
pencerobohan privasi semakin berleluasa.
“Dalam era moden yang serba canggih, kita wajib berhati-hati dan berwaspada agar
tidak terperangkap dalam situasi yang boleh mengaibkan. Dewasa ini, jika musuh kita
marah, kemarahannya itu disiarkan secara “live” melalui Tiktok.

“Jika mengkritik atau membenci, mereka akan menviralkan kebencian itu dalam media
sosial, hingga satu dunia dapat menyaksikannya. Pendekatan ini ditiru oleh golongan
anti Kerajaan, terutama parti pembangkang”, katanya.

Hajiji berkata, ahli politik lebih cenderung diperlekeh, diejek, malah dimaki hamun,
kadangkala dengan video yang berunsur fitnah dan tohmahan untuk memperdaya dan
mengabui mata rakyat.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan warga Penjawat Awam agar lebih berhati-hati
dengan informasi yang diterima dewasa ini, perlu pengesahan, kesahihan dan tapisan,
sebelum mempercayai dan menyebarkannya di dalam media sosial.

“Peringatan ini juga dikhususkan kepada semua penjawat awam yang berstatus ibu-
bapa, mempunyai anak-anak remaja, yang wajar dipantau kegiatan mereka dalam bertiktok dan bermedia sosial. Jangan sampai terjebak dalam kes-kes penipuan,
penyebaran informasi palsu atau fitnah dan sebagainya.

“Namun, semua ini berpunca daripada budaya masyarakat kita yang gemar kepada
cerita-cerita sensasi, cerita-cerita berunsur fitnah, adu domba dan tahyul. Sementara
cerita berkaitan ilmu agama, ekonomi, perpaduan, kurang diambil perhatian, sebab
tidak sensasi dan tidak menarik.

“Justeru, berhati-hatilah kita dengan kemajuan dan kecanggihan digital teknologi
ini. Ledakkannya mampu menggugat nilai-nilai murni kehidupan kita, termasuklah
dalam kita menjalankan tugas dan amanah selaku pemimpin dan penjawat awam”,
tegasnya.-pr/BNN