KENINGAU: Daerah Keningau bakal mencatat sejarah apabila dua acara utama negeri, “The Crocker Range Festival (TCRF)” Musim Kelapan dan Karnival Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Zon Keningau 2025, digabungkan dalam satu penganjuran mega bertemakan sinergi budaya dan keusahawanan.
Kolaborasi besar ini dijangka menjadi antara acara pelancongan dan komuniti terbesar yang pernah dianjurkan di daerah pedalaman Sabah, menghimpunkan elemen pelancongan, seni budaya, dan pembangunan ekonomi tempatan di bawah satu platform inklusif.
Satu mesyuarat rasmi bagi menyelaras penganjuran acara ini telah berlangsung pada 16 Jun 2025 di Bilik Mesyuarat Matulai, Bangunan Urus Setia Daerah Keningau, dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Keningau, Encik Peter J. Moinjil, yang dilantik sebagai Pengerusi Penganjur Bersama.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Encik Rafie Robert serta Penolong Setiausaha Kanan (Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Encik Mohd Ridzuan Ramli yang turut bertindak sebagai Pengerusi Penganjur Bersama.
Menurut Rafie, penganjuran The Crocker Range Festival selama ini bertujuan mempromosikan Keningau sebagai destinasi pelancongan baharu, selain memperkenalkan produk warisan budaya dan ekopelancongan setempat.
“Manakala Karnival PMKS pula memberi fokus kepada pengembangan pasaran produk usahawan mikro dan kecil tempatan”, katanya ketika ditemui selepas mesyuarat itu.
Menurutnya, gabungan dua acara ini bukan sahaja memperkukuhkan impak kepada pelancongan domestik dan pembangunan ekonomi setempat, malah mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam merakyatkan agenda pelancongan dan keusahawanan, selaras dengan Pelan Strategik Sabah Maju Jaya.
Katanya, acara mega empat hari itu akan berlangsung pada 26 hingga 29 Jun 2025 bertempat di Dataran Keningau, dengan pelbagai aktiviti menarik disusun termasuk persembahan seni dan budaya, pameran produk tempatan, pertandingan tradisi, serta jualan usahawan PMKS.
Beliau berkata, majlis perasmian rasmi dijadual disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada 28 Jun 2025, jam 10.00 pagi, di lokasi yang sama.
Rafie menyeru kehadiran orang ramai dari seluruh Sabah untuk turut serta dalam acara ini yang menjadi manifestasi perpaduan, daya cipta dan semangat keusahawanan rakyat negeri di bawah bayu.-pr/BNN