KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin hubungan strategik antara Sabah dan Republik Rakyat China akan terus diperkukuhkan menerusi hubungan diplomatik serta pelbagai inisiatif pembangunan bersama.

Ketua Menteri berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu yang baharu, Dr. Zhu Xinglong di Menara Kinabalu pada Rabu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima cenderamata daripada Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu yang baru, Dr. Zhu Xinglong di Menara Kinabalu, Kota Kinabu pada Rabu.

Dalam pertemuan itu, Hajiji mengucapkan tahniah atas pelantikan Dr. Zhu dan mengalualukannya bertugas di Sabah.

“Saya percaya kehadiran Dr. Zhu akan memberi lonjakan baharu kepada kerjasama dua hala yang telah lama terjalin antara Sabah dan China, terutamanya dalam sektor pelaburan, perdagangan, pelancongan, pendidikan dan lain-lain”, katanya.

Hajiji turut menekankan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif dan mesra pelabur bagi menarik lebih banyak syarikat China untuk melabur di Sabah, khususnya di kawasan perindustrian strategik.

Kunjungan sulung itu merupakan lawatan pengenalan Dr. Zhu sejak dilantik sebagai Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, menggantikan penyandang terdahulu, Dr. Huang Shifang.-pr/BNN