KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyambut baik kerjasama antara Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Negeri (UPPM) bagi memastikan bekalan elektrik dapat disalurkan ke seluruh pelusuk negeri.

“Usaha ini melengkapi inisiatif Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat di negeri ini terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat akses kepada bekalan elektrik,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sabah Electricity dan UPPM Sabah di Menara Kinabalu, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan majlis menandatangani MoU antara UPPM Sabah dan Elektrik Sabah

Chief Minister Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor witnessing the MoU signing ceremony between UPPM Sabah and Sabah Electricity

Ketua Menteri berkata kerjasama ini juga selaras dengan peranan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Beliau berkata PPM memainkan peranan penting dan memikul tanggungjawab besar yang dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan rasa tanggungjawab.

Di bawah MoU selama setahun ini, Sabah Electricity dan UPPM Sabah akan bekerjasama dalam meningkatkan sambungan bekalan elektrik, khususnya di kawasan yang belum diliputi, membangunkan infrastruktur tenaga mampan serta meningkatkan kesedaran dalam kalanganrakyat mengenai perkhidmatan dan fungsi Sabah Electricity, termasuk penggunaan tenaga yang efisien.

Projek-projek di bawah kerjasama ini juga akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.Secara keseluruhannya, kerjasama strategik antara Sabah Electricity dan UPPM Sabah ini akan menjadi titik fokus kepada semua perkara berkaitan perkhidmatan Sabah Electricity.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar bagi pihak Sabah Electricity, manakala UPPM Sabah diwakili oleh Pengarahnya Datuk Awang Kadin Tang.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan Peguam Besar Negeri Datuk Brenndon Keith Soh.-pr/BNN