KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Fredian Gan tampil mempertahankan Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, susulan dakwaan mengaitkan pemimpin itu dengan isu lesen perlombongan di Sabah yang didedahkan media baru-baru ini.

Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai serangan bermotif politik dan cubaan terancang untuk menggugat kestabilan kepimpinan negeri serta menjejaskan reputasi PBS menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Saya berdiri teguh bersama Dr Joachim. Tuduhan yang dibuat adalah tidak berasas, tiada bukti kukuh, dan semata-mata bertujuan menjejaskan kredibiliti kepimpinan beliau. Dr Joachim telah membuktikan kepimpinan berintegriti dan telus sepanjang perkhidmatannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Fredian turut melahirkan kebimbangan terhadap penglibatan tokoh veteran PBS dan bekas Menteri Persekutuan, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili, yang menurutnya turut menjadi mangsa tuduhan tanpa asas.

“Adalah amat mengecewakan apabila seorang negarawan seperti Dr. Maximus, yang telah lama berkhidmat demi rakyat dan negeri, turut dikaitkan dalam isu ini. Jelas sekali, serangan ini tidak menyasarkan individu semata-mata, sebaliknya mahu melemahkan keseluruhan teras kepimpinan PBS di Sabah,” tegas beliau.

Gan turut menyuarakan sokongan penuh terhadap Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Jahid Jahim, yang turut dinamakan dalam laporan media berkaitan skandal tersebut.

Dalam pada itu, beliau menggesa seluruh ahli PBS, rakan gabungan dan rakyat Sabah supaya tidak mudah terpengaruh dengan spekulasi serta kekal bersatu dalam menghadapi cubaan memecahbelahkan kestabilan politik negeri.

“Ini bukan masanya kita leka dengan tuduhan sensasi atau tajuk berita mengelirukan. PBS akan terus berjuang demi rakyat Sabah dan tidak akan tunduk kepada tekanan politik,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyeru agar siasatan berhubung isu berkenaan dilaksanakan secara telus oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa sebarang campur tangan politik.

“Kita mengalu-alukan siasatan oleh pihak berkuasa, namun menolak naratif yang diputarbelitkan demi kepentingan pihak tertentu. Selagi tiada bukti, pemimpin kita harus dianggap tidak bersalah,” ujarnya.

Fredian juga menyokong kenyataan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, bahawa isu ini merupakan sebahagian daripada gerakan sistematik untuk melemahkan Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Rakyat Sabah perlu sedar bahawa serangan ini bukan sahaja menyasarkan individu, tetapi juga kestabilan dan hak negeri Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Kita mesti bersatu mempertahankan kerajaan yang ada dan tidak membiarkan agenda luar menggugat suara rakyat,” katanya.-pr/BNN