KENINGAU: Komitmen berterusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman (AAA) dalam memajukan potensi belia diteruskan menerusi sumbangan kepada Kontinjen Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Keningau, yang akan menyertai Kejohanan Olahraga MSS Sabah ke-57 di Tambunan.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Liawan, Fred Toyong, mewakili AAA dalam satu majlis ringkas di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, sempena pelepasan kontinjen ke Kompleks Sukan Tambunan.

Menurut Fred, sumbangan berupa bantuan kewangan dan sokongan moral itu adalah sebahagian daripada usaha AAA dalam memperkasakan pembangunan sahsiah dan disiplin generasi muda melalui bidang sukan.

“Datuk Annuar percaya bahawa pembangunan belia tidak hanya berlaku di bilik darjah, tetapi juga melalui sukan – tempat terbentuknya semangat juang, daya tahan dan kepimpinan,” katanya.

Beliau turut menyampaikan pesanan AAA kepada para atlet dan guru pengiring bahawa kejayaan dalam sukan bukan semata-mata meraih pingat, tetapi membina jati diri dan masa depan.

Sumbangan berkenaan diterima oleh Pengetua SMK Gunsanad II, Cikgu Ng Min Hoo @ Mike Eping, yang juga Ketua Pengurus Kontinjen MSSD Keningau.

Ng menyifatkan sumbangan itu sebagai satu pengiktirafan kepada usaha berterusan warga pendidik dalam membimbing pelajar bukan sahaja dalam akademik, tetapi juga kokurikulum.

“Sumbangan ini membuktikan keprihatinan pemimpin yang bukan hanya memberi galakan dari jauh, tetapi turut hadir bersama dalam bentuk tindakan,” katanya.

Bantuan yang disalurkan akan digunakan bagi menampung kos logistik, kelengkapan dan keperluan atlet, membolehkan para peserta memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kejohanan dan mempersembahkan prestasi terbaik.

Langkah ini selaras dengan aspirasi AAA untuk menjadikan DUN Liawan sebagai kawasan yang melahirkan generasi muda berdaya saing dalam pelbagai bidang, termasuk sukan.

“Kami tidak menjanjikan bulan dan bintang – tetapi kami hadir bersama rakyat dalam setiap langkah mereka,” itulah prinsip kepimpinan AAA yang terus terpahat dalam setiap inisiatif yang dilaksanakan.-pr/BNN