KENINGAU: Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) Bahagian N.40 Bingkor membuat laporan polis terhadap sebuah laporan berita yang disiarkan oleh portal Malaysiakini, yang didakwa mengandungi tuduhan palsu dan berunsur fitnah terhadap pimpinan tertinggi parti itu.
Laporan polis berkenaan dibuat kelmarin oleh Ketua Wiranita STARSABAH N.40 Bingkor, Jennifer Epil, di Balai Polis Keningau dan diiringi oleh Pengerusi Tetap Bahagian, Haji Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik Mansai @ Charles; Ketua Wiramuda, Florian @ Jai Ilon serta beberapa ahli jawatankuasa Wiramuda dan Wiranita STARSABAH.
Laporan Malaysiakini yang bertajuk “Jeffrey Kitingan alleged to have received RM1.78m in bribes” dan ditulis oleh dua wartawan, RK Anand dan Alyaa Alhadjri, mendakwa Presiden STARSABAH, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, terlibat dalam penerimaan rasuah berkait skandal lesen perlombongan.
Turut dikaitkan dalam laporan itu ialah Timbalan Presiden STARSABAH, Datuk Ellron Alfred Angin dan Datuk Robert Tawik, yang didakwa menerima sogokan berjumlah RM530,000 dan RM300,000 masing-masing.
Menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan berniat jahat, pimpinan STARSABAH menegaskan ia merupakan cubaan mencemar imej parti menjelang musim politik yang semakin rancak.
“Dakwaan ini adalah fitnah semata-mata. Ia direka untuk menjatuhkan reputasi kepimpinan parti,” tegas STARSABAH dalam kenyataan media yang dikeluarkan selepas laporan polis dibuat.
Menurut parti itu, tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu atau organisasi yang menyebarkan berita palsu berkenaan, termasuk langkah perundangan terhadap laporan tersebut.
STARSABAH turut menggesa pihak berkuasa menyiasat motif dan sumber laporan berkenaan bagi menjamin keadilan dan memelihara integriti sistem demokrasi negara.
“Kami berdiri teguh di belakang kepimpinan Presiden dan parti kami,” kata Haji Yazid.-pr/BNN