KENINGAU: Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) Pusat Daerah Mengundi (PDM) Keningau Station terus memperkukuh jentera akar umbi menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) dengan mengadakan Mesyuarat Jentera Pilihan Raya dan sambutan ulang tahun ke-9 penubuhan parti itu di Hotel Perkasa, di sini, kelmarin.
Program yang disertai lebih 50 ahli parti itu dihadiri barisan kepimpinan bahagian termasuk Setiausaha Bahagian, Junior Fred; Ketua Wiramuda, Florian @ Jai Ilon, Ketua Wiranita, Jennefer Epil Likoh dan Ketua Wiramas, Saimin Felix Bandara.
Ketua PDM, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik Mansai @ Charles, berkata sambutan itu bukan sekadar memperingati ulang tahun, tetapi medan mengukuhkan semangat perjuangan dan kesiapsiagaan jentera parti dalam menghadapi PRN-17.
“PRN kali ini menjadi penentu masa depan Sabah. Ia bukan sahaja soal kuasa, tetapi soal generasi akan datang. Kita mesti bersatu dalam perjuangan bersama StarSabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kemenangan di DUN Bingkor,” katanya.
Yazid yang juga Ketua Biro Media N.40 Bingkor berkata, perjuangan StarSabah yang diterajui Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan kekal konsisten memperjuangkan hak negeri berlandaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, PDM Keningau Station kini dalam keadaan siap siaga dari segi organisasi, logistik dan gerak kerja lapangan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon GRS dalam PRN akan datang.-pr/BNN