KOTA KINABALU: Komitmen Datuk Annuar Ayub Aman dalam memperkasakan kepimpinan akar umbi terus menyerlah apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan itu mengambil langkah proaktif membawa pemimpin-pemimpin masyarakat dari kawasannya menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Inisiatif yang diadakan sempena Hari Kedua Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Tahun 2025 itu menyaksikan kehadiran barisan kepimpinan tempatan termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Pengerusi Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) Pekan Keningau, Ketua Masyarakat Cina (KMC), wakil Wiramuda serta pegawai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN N.41 Liawan.

Kehadiran mereka bukan sekadar sebagai pemerhati, sebaliknya melambangkan keterbukaan serta keterlibatan masyarakat dalam proses pembentukan dasar dan pembangunan negeri. Ia selaras dengan pendekatan inklusif yang dibawa Annuar dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi.
“Saya ingin mereka melihat dan memahami sendiri bagaimana dasar negeri dibahaskan dan digubal. Ini penting agar kepimpinan akar umbi kita lebih bersedia, bermaklumat dan berpandangan jauh dalam menyampaikan kehendak serta keperluan rakyat,” kata Annuar ketika ditemui.
Salah seorang Pengerusi JKKK yang hadir menyifatkan pengalaman menyaksikan sidang DUN itu sebagai satu pendedahan bermakna yang membuka mata dan memberi kefahaman mendalam tentang tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat.
Rata-rata mereka menyatakan penghargaan dan rasa bangga terhadap kesungguhan Annuar yang sentiasa memberi ruang kepada mereka untuk terlibat secara langsung dalam sistem demokrasi dan pentadbiran negeri.
Langkah itu turut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan beliau dalam membina kepimpinan berwibawa, berpaksikan nilai kebersamaan serta sentiasa mendahulukan keperluan rakyat di kawasan Liawan.
Dengan pendekatan merakyat dan dasar berpandangan jauh, Annuar membuktikan bahawa beliau bukan sahaja wakil suara rakyat di Dewan, malah pemimpin yang sentiasa berada di tengah-tengah denyut nadi masyarakat.
Slogan “Liawan Terurus, Liawan Maju” bukan sekadar laungan retorik, sebaliknya menjadi satu gerakan menyeluruh yang digerakkan beliau secara konsisten demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat Liawan.-pr/BNN