KENINGAU: Di sebalik kehijauan perbukitan dan kepelbagaian budaya yang hidup subur di Kampung Batu 27, satu lagi manifestasi harapan rakyat kini menjadi kenyataan apabila pembinaan jalan konkrit sepanjang 200 meter dilaksanakan khusus untuk kegunaan komuniti Cina di kampung ini.
Projek itu adalah hasil kerjasama erat dua pemimpin utama di kawasan ini – Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, yang menyumbang pembinaan sepanjang 150 meter, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, yang menampung baki 50 meter lagi.
Laluan tersebut yang melibatkan empat simpang utama dijangka memberi manfaat langsung kepada puluhan keluarga yang menggunakan jalan berkenaan setiap hari untuk ke kebun, sekolah dan pasar.
Namun lebih daripada sekadar kemudahan fizikal, projek ini dilihat sebagai lambang keprihatinan dan perpaduan yang mencerminkan semangat kepimpinan inklusif tanpa mengira kaum dan agama.
“Ini bukan sekadar jalan konkrit, ini adalah jalan harapan. Kita mahu semua rakyat – tanpa mengira latar belakang – merasai kehadiran pembangunan yang saksama dan menyatukan,” ujar Annuar ketika ditemui semasa lawatan pemantauan projek.
Menurutnya, pendekatan pembangunan yang diambil tidak hanya terfokus kepada infrastruktur semata-mata, tetapi turut mementingkan sentuhan kemanusiaan dalam memastikan tiada komuniti yang terpinggir.
Kawasan tersebut sebelum ini kerap berdepan cabaran akses jalan yang daif, namun kepimpinan berteraskan tindakan oleh Annuar dan Dr Jeffrey telah membuka lembaran baharu buat penduduk kampung.
Kedua-dua pemimpin ini turut disifatkan oleh penduduk sebagai tokoh yang bukan sahaja merancang dari jauh, tetapi juga turun padang secara konsisten, mendengar rintihan rakyat dan menyegerakan penyelesaian.
Wakil komuniti Cina Kampung Batu 27 turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan kedua-dua pemimpin tersebut yang dianggap sebagai “pembela senyap rakyat luar bandar”.
“Kami amat bersyukur dan berterima kasih. Semoga jalan ini bukan sahaja memudahkan urusan harian, tetapi turut membawa lebih banyak rezeki, keselamatan dan kenangan baik untuk generasi akan datang,” kata seorang penduduk warga emas yang turut menyaksikan pembinaan jalan di hadapan rumahnya.
Pembinaan jalan ini juga menepati aspirasi pembangunan luar bandar yang digagaskan kerajaan negeri dan Persekutuan, iaitu untuk memperkasa kawasan pedalaman dengan kemudahan asas yang setara dan inklusif. – pr/BNN





