KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman menyalurkan sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Keningau bagi menyokong penganjuran Pertandingan Kemahiran Kolej Vokasional (KV SKILLS) 2025 Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sumbangan disampaikan oleh Pemaju Masyarakat Liawan, Hairul Ahmad Syam mewakili Annuar dalam satu majlis ringkas di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, dan diterima wakil kolej, Ts. Amirullah A. Karim.

Pertandingan KV SKILLS 2025 dijadualkan berlangsung Julai ini di Kolej Vokasional Keningau dengan penyertaan pelajar dari seluruh Sabah dan Labuan.

Menurut Hairul, Annuar komited menyokong pendidikan kemahiran (TVET) sebagai teras pembangunan belia di Liawan.

“Anuar percaya TVET bukan sekadar membuka peluang kerjaya, malah membina masa depan yang lebih kukuh untuk anak muda,” katanya.

KV SKILLS dilihat sebagai platform strategik mencungkil bakat belia, mengasah kemahiran teknikal dan memperkukuh kerjasama antara institusi dan industri, selari dengan visi Liawan Terurus, Liawan Maju.-pr/BNN