KENINGAU: Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin menyifatkan silat sebagai warisan bangsa yang perlu dipertahan dan diwariskan kepada generasi muda sebagai asas pembinaan jati diri dan kepimpinan.
Menerusi Pertandingan Silat Apin-Apin Warrior Challenge 2025 yang bakal berlangsung di Dewan Datuk Angian Andulag, beliau tampil menyokong penuh penganjuran tersebut yang disifatkan sebagai platform positif membina karakter anak muda luar bandar.
Wakil beliau, George Dairie dari Pejabat UPPM Bingkor menyerahkan sumbangan dana kepada Mohd Nasir Imlan, wakil Kelab Silat Olahraga Fatani Apin-Apin (KeSOFAA), penganjur utama pertandingan itu yang dijangka menghimpunkan pesilat dari seluruh pedalaman Sabah.
“Silat bukan sekadar seni mempertahankan diri, ia mendidik tentang keberanian, disiplin dan hormat – nilai yang harus kekal dalam jiwa anak muda kita,” tegas Robert.
Beliau berkata, melalui sokongan padu terhadap program seperti ini, golongan belia bukan sahaja diasah dari segi fizikal dan semangat juang, tetapi juga diberi ruang untuk menonjol dan mencipta masa depan lebih cemerlang.
“Anak-anak muda Bingkor tidak kurang hebatnya. Mereka hanya perlukan ruang dan dorongan untuk menyerlah,” ujarnya.
Robert turut menegaskan komitmennya bukan sekadar dalam bentuk dana, malah usaha berterusan memperkasakan belia sebagai pewaris kepimpinan dan budaya setempat.
Beliau berharap pertandingan ini menjadi acara tahunan yang menyatukan komuniti dan membina semangat perjuangan generasi baharu berasaskan warisan nenek moyang.
“Saya mahu lihat pesilat Bingkor bukan hanya gagah di gelanggang, tetapi juga menjadi pemimpin berjiwa rakyat,” katanya.-pr/BNN





