KENINGAU: Tanggal 25 Jun 2025 menjadi titik bersejarah buat lebih 200 penduduk Kampung Ria Atas apabila kawasan berkenaan secara rasmi diwartakan sebagai sebuah kampung tetap — satu pengiktirafan yang amat dinanti sejak sekian lama.
Majlis penyerahan Surat Pewartaan Kampung Ria Atas berlangsung dalam suasana sederhana namun penuh bermakna di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Bingkor.
Surat berkenaan diserahkan kepada Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, dan diterima oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor, Junior Fred Vincent Marukau bagi pihak beliau.
Pengerusi Bertindak Kampung Ria Atas, Andrew Badsut, menyifatkan pewartaan ini sebagai hadiah terbesar buat seluruh komuniti, hasil perjuangan berterusan dan kerjasama erat antara penduduk serta pihak berkuasa.
“Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang tidak pernah lelah membantu memperjuangkan status rasmi kampung ini. Ini adalah kemenangan rakyat yang lahir daripada semangat muafakat,” katanya.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada pemimpin dan agensi terlibat yang memainkan peranan penting dalam menjayakan proses pewartaan tersebut.
“Ini bukan hanya pengesahan hitam putih di atas kertas, tetapi satu lambang bahawa suara rakyat luar bandar diangkat dan dihargai. Generasi muda kini mempunyai masa depan yang lebih terjamin,” ujar Andrew.
Sementara itu, Robert Tawik menyatakan bahawa pewartaan sesebuah kampung bukan sekadar memenuhi prosedur pentadbiran, tetapi merupakan pengiktirafan terhadap hak, maruah dan identiti masyarakat luar bandar.
“Selagi diberi mandat, saya akan pastikan tiada kampung yang terpinggir daripada arus pembangunan. Kampung Ria Atas kini bukan lagi sekadar nama — ia adalah simbol kekuatan, semangat dan kesungguhan rakyat yang tidak pernah menyerah,” katanya.
Dengan pewartaan rasmi ini, Kampung Ria Atas akan menerima akses yang lebih luas kepada kemudahan asas, peruntukan pembangunan serta program kerajaan yang khusus untuk kampung tetap.
“Syabas dan tahniah kepada seluruh warga Kampung Ria Atas. Ini adalah hasil usaha anda sendiri yang telah bersatu demi masa depan yang lebih baik,” kata Robert .-pr/BNN





