KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah simbol penyatuan rakyat dan parti tempatan Sabah, bukannya medan perebutan kuasa sebagaimana cuba digambarkan oleh segelintir pihak yang mengungkit semula Peristiwa 1985.

Aktivis politik Pro-GRS, Aksyah Haji Nasrah, menegaskan bahawa dakwaan kononnya Parti Bersatu Sabah (PBS) akan menikam GRS sebagaimana dakwaan terhadap USNO dahulu adalah tidak berasas dan bersifat “batu api” menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).

“Peristiwa 1985 sepatutnya menjadi faktor penyedar, bukan bahan hasutan. Ia membuktikan bahawa hanya melalui perpaduan parti tempatan, Sabah boleh berdiri kukuh dalam landskap politik nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aksyah yang juga bekas Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah berkata, GRS ditubuhkan hasil iltizam lapan parti tempatan demi memperkukuh Blok Politik Sabahan, bukannya untuk mengulangi kesilapan lampau.

Menurut beliau, kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama barisan GRS memahami dengan jelas aspirasi rakyat Sabah yang mahu negeri ini ditadbir oleh parti tempatan.

“Keutamaan politik hari ini jauh berbeza. Sabah kini berada pada fasa kematangan baharu – rakyat mahukan kestabilan dan kemakmuran, bukan pertelingkahan dan perpecahan,” katanya.

Mengulas amanat Hajiji semasa Konvensyen PBS-STAR 2025 baru-baru ini, Aksyah mengingatkan semua komponen GRS supaya terus memperkukuh solidariti dan mempertahankan gabungan itu sebagai rumah politik bersama.

“GRS adalah masa depan wilayah kita. Jangan robohkan rumah yang telah dibina dengan susah payah. Jika Sabah mahu dihormati, kuncinya ialah perpaduan. Jika mahu makmur, kestabilan politik adalah acuannya,” tegas beliau.

Tambahnya, perjuangan menzahirkan Wawasan Sabah Maju Jaya (SMJ) masih jauh dan memerlukan iltizam jitu serta dokongan semua pihak.-pr/BNN