KOTA KINABALU: Aktivis politik Pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah menempelak tindakan pembangkang yang didakwa sengaja menggambarkan keadaan Sabah seolah-olah kucar-kacir semata-mata untuk mencipta persepsi buruk terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menurut beliau, pelbagai ulasan ekonomi dan isu pengangguran yang dibangkitkan oleh pemimpin serta aktivis pembangkang hanyalah bersifat propaganda dan berat sebelah, tanpa mengambil kira fakta sebenar pencapaian negeri itu.
“Jika benar ekonomi Sabah berada dalam keadaan teruk seperti yang didakwa, mengapa rizab kewangan negeri kini mencecah RM8.08 bilion – jumlah tertinggi dalam sejarah Sabah?
“Malah, hasil pendapatan negeri turut meningkat kepada lebih RM7 bilion, pencapaian yang belum pernah direkodkan mana-mana kerajaan Sabah sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Aksyah berkata, kadar pengangguran negeri juga menunjukkan perkembangan positif apabila berjaya dikurangkan kepada 6.7 peratus setakat 30 Mei 2025, berbanding 8.2 peratus pada 2020 sewaktu GRS mula mengambil alih pentadbiran.
“Ini jelas menunjukkan GRS bukan sahaja mampu mentadbir dengan baik, malah turut menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat. Pelaburan baharu juga terus mengalir masuk ke Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Aksyah turut mempertikaikan kredibiliti kritikan pembangkang, khususnya Barisan Nasional (BN) dan Warisan, yang menurutnya pernah diberi peluang mentadbir negeri namun gagal menyelesaikan pelbagai isu asas rakyat.
“BN pernah memerintah hampir 30 tahun. Jika benar mereka hebat seperti yang digembar-gemburkan, tidak mungkin Warisan – sebuah kerajaan yang naik melalui ‘pintu belakang’ – mampu mengambil alih Sabah dengan mudah.
“Begitu juga Warisan, meskipun mewarisi Sabah dalam keadaan progresif, mereka tetap gagal menyerlah ketika memerintah. Sebaliknya GRS mengambil alih dalam suasana paling getir, iaitu ketika pandemik COVID-19, tetapi tetap berjaya memulihkan ekonomi dalam tempoh setahun,” ujarnya.
Beliau berkata, pembentukan GRS sebagai gabungan pemimpin pelbagai parti tempatan adalah langkah bijak demi memastikan Sabah tidak lagi menjadi negeri yang terus ditunggang kepentingan luar.
“Cukuplah Sabah dijarah. Sudah tiba masanya Sabah dipimpin oleh barisan pemimpin yang benar-benar meletakkan kepentingan negeri dan rakyat di hadapan,” katanya.
Justeru, beliau menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan dakyah dan persepsi negatif yang dimainkan pembangkang, sebaliknya terus menyokong dasar-dasar pro-rakyat di bawah Kerajaan GRS menerusi pelaksanaan Wawasan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Apakah dengan pencapaian ini, kita masih mahu menukar kerajaan sekali lagi? Jangan biarkan pisang berbuah dua kali,” katanya. pr/BNN





